Berita

Kurangkan Gangguan Elektrik, Sesb Sasar Turunkan Saidi Hingga 100 Minit

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. (File pict)

KOTA KINABALU, 28 Dis (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyasarkan untuk menurunkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) hingga 100 minit menjelang 2030 dalam usaha mengurangkan gangguan bekalan elektrik untuk rakyat di negeri ini.

Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata nilai SAIDI dalam sistem bekalan elektrik Sabah kini adalah kira-kira 274.43 minit yang dapat diturunkan berbanding 4,109 minit pada 2005, 424 minit pada 2013 dan 302 minit pada tahun lepas.

"Banyak kemajuan telah dicapai dalam nilai SAIDI tetapi SESB akan bekerja keras untuk terus mengurangkannya bagi menjamin keperluan bekalan elektrik yang boleh diharap dan diyakini ke semua kawasan dan di seluruh Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku The SESB Story bersempena dengan sambutan Jubli Perak ke-25 SESB dan sambutan Krismas serta Tahun Baharu di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata nilai SAIDI itu antara lima cabaran dihadapi SESB ketika ini, selain mencapai sasaran margin rizab bekalan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus berbanding pada masa kini hanya pada paras 12 peratus, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.

Beliau berkata kebergantungan kepada Subsidi Sokongan Tarif (TSS) daripada kerajaan Persekutuan menyebabkan aspek kelestarian kewangan SESB berada pada tahap kritikal dan pada tahun lepas, TSS telah mencecah RM862 juta.

"SESB menjual elektrik pada kadar purata tarif asas 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah berbanding kos purata penjanaan iaitu 43.83 sen/kWj. Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata sebanyak 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual," katanya.

Selain itu, bagi melestarikan kewangan SESB, beliau berkata adalah penting bagi SESB mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak termasuk subsidi kerajaan untuk memiliki keupayaan penjanaan elektrik sendiri sekurang-kurangnya beban utama SESB sebanyak 700 MW.

Sementara itu pada sidang media, Madius berkata SESB telah bersedia untuk mengambil alih semula kuasa mengawal selia bekalan elektrik negeri selepas persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sabah yang dijadualkan pada 3 Jan tahun depan.

Beliau berkata kerjasama antara pengawal selia dengan pembuat dasar penting agar kepentingan semua pihak dapat dilihat bersama dan pada masa sama pengguna juga harus memahami peranan SESB terutamanya berkaitan tarif yang bukan di bawah SESB tetapi ditentukan Suruhanjaya Tenaga.

Sementara itu, beliau berharap buku The SESB Story itu akan memberi maklumat yang mendalam kepada orang ramai mengenai peranan termasuk cabaran yang dihadapi oleh SESB, dan terbitan pertama sebanyak 200 buku akan diedarkan kepada pemimpin masyarakat di Sabah. 

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]