Berita

Kekalkan Rebat Bil Elektrik, Tanda Kerajaan Prihatan Nasib Golongan B40



KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Langkah kerajaan mengekalkan pemberian rebat dua sen/kwj  kepada pengguna dengan bil elektrik bulanan bawah RM220, memberi kelegaan terutama kepada golongan B40 yang berdepan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Rata-rata pengguna menyedari kenaikan kos tarif elektrik itu tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kos bahan bakar dunia, namun keputusan kerajaan meneruskan pemberian rebat itu bukti keprihatinan kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat.

Bagi Amirul Azlan M. Tazan, 39, yang berasal dari Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu, Terengganu, beliau bersyukur kerana pengguna yang mempunyai bil elektrik bulanan bawah RM220 sepertinya, masih mendapat rebat dua sen/kwj seperti sediakala.

“Bil elektrik rumah saya yang dihuni tiga orang termasuk saya, ibu saya (Kalsom Mohd, 65 tahun) dan anak saya (Muhammad Aiman, 7 tahun) adalah sekitar RM150 hingga RM200. Jadi berdasarkan pengumuman tersebut saya masih boleh menikmati rebat seperti biasa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengawal keselamatan di Pejabat Agama Kuala Berang yang juga bapa tunggal itu berkata kenaikan harga barang dan kos sara hidup semakin dirasai membuatkannya terpaksa menjalankan perniagaan aiskrim yang dibekalkan di pelbagai majlis keramaian.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2024 yang dilaksana di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Pengumuman itu dibuat susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kWj bagi penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan. 

Sementara itu pemilik spa di Kampung Tasek, Wakaf Dua dekat Marang, Terengganu, Zalina Tengah, 41, berkata langkah kerajaan meneruskan pemberian rebat berkenaan amat memberi manfaat kepada usahawan kecil sepertinya yang mempunyai pendapatan tidak tetap.

“Walaupun spa saya ada barangan elektrik yang sering digunakan seperti penyaman udara dan mesin wap muka, namun bil yang perlu dibayar setiap bulan hanyalah sekitar RM100 hingga RM200 sahaja.

“Jadi sangat bersyukur kerana pengumuman pelarasan tarif elektrik itu tidak menjejaskan saya,” katanya yang turut mengambil langkah berhemat untuk menjimatkan penggunaan elektrik.

Bagi seorang penjawat awam Sharlina Shahrom, 48, yang menetap di Taman Hijrah, Kangar, Perlis, pelarasan dan rebat itu menggalakkannya untuk melakukan penjimatan penggunaan elektrik yang kini secara purata dikenakan caj antara RM200 hingga RM375 sebulan.

“Saya merancang untuk melakukan penjimatan dengan mengurangkan penggunaan barangan elektrik di rumah seperti penyaman udara dan akan menggunakan satu sahaja peti ais biasa berbanding sekarang yang turut menggunakan peti ais sejuk beku,” katanya yang tinggal bersama lima lagi saudaranya.

Berkongsi pendapat sama, seorang pesara, Jarkani Mohd Saat, 72, dari Kampung Paya, Beseri, Padang Besar  juga berazam untuk mengurangkan penggunaan lima unit penyaman udara di rumahnya menyebabkan anggaran bil elektrik bulanan, sering mencecah antara RM500 dan RM600 sebulan.

"Setiap bilik ada penyaman udara, jadi tahun depan saya mungkin akan hadkan penggunaannya untuk mengelak daripada dikenakan caj yang lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]