Berita

Tarif Elektrik: Pengguna Domestik Di Khtp Lega Tidak Terjejas



KULIM, 27 Dis (Bernama) -- Pengguna domestik (tarif N1) dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dekat sini, nyata lega apabila tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik tahun hadapan.

Ilyasaq Taib, 43, yang menetap di Taman Kulim Techno City 3 berkata dia juga berharap kerajaan dapat terus memastikan supaya tidak berlaku kenaikan tarif kerana ia akan turut memberi kesan kepada harga barangan lain.

"Saya tinggal bersama lima lagi ahli keluarga, penggunaan elektrik di rumah dianggarkan kurang 1,500 kWj kerana masa berada di rumah tidak menentu dan kurang penggunaan barangan elektrik seperti penyaman udara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa  Industri dan Pelaburan, Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi dan Sains dan Pengerusi Jawatankuasa Teknologi dan Inovasi negeri Dr Haim Hilman Abdullah berkata NUR Power Sdn Bhd disarankan agar membantu pengguna industri memasang panel solar bagi membantu pengilang di KHTP yang terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

"Kenaikan tarif elektrik ini perkara biasa tetapi ia memberi kesan kepada pemain industri dan memberi impak penyelarasan yang membawa kepada peningkatan daripada 5.39 sen/kWj kepada 6.50 sen/kWj. Bagaimanapun, kadar surcaj NUR Power lebih rendah daripada kadar yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bagi membantu mengurangkan kesan Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) kepada pengilang, mereka boleh sediakan solar, kerana perlu dilihat dalam konteks perniagaan, pelabur dan pengilang ini sensitif berkaitan isu kos. Jadi, pemasangan solar itu mampu memberi penjimatan dan membolehkan mereka mengurangkan kos serta merancang kewangan dalam kos operasi syarikat," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan memaklumkan sejumlah 99 peratus atau 5,159 pengguna domestik di KHTP tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik dan akan menerima subsidi daripada kerajaan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

Suruhanjaya itu memaklumkan kerajaan pada 13 Dis lepas bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna NUR Power Sdn Bhd di KHTP bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

Dengan pelaksanaan ICPT itu, pengguna domestik (tarif N1) dengan unit penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak dikenakan sebarang surcaj.

Sementara itu, pengguna domestik (tarif N1) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 6.50 sen/kWj, manakala pengguna bukan domestik pula akan dikenakan surcaj 6.50 sen/kWj.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]