Berita

99 Peratus Pengguna Di Sabah Dan Labuan Tidak Terjejas Pelarasan Tarif Elektrik



PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Sejumlah 561,000 atau 99 peratus pengguna domestik di Sabah dan Labuan tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2024, demikian menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan pada 13 Dis lepas telah bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna di Sabah dan Labuan untuk tempoh berkenaan.

“Berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM161.70 juta subsidi bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini,” menurut kenyataan itu. 

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Dengan pelaksanaan ICPT itu, pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak dikenakan sebarang surcaj.

Bagi pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj, manakala pengguna bukan domestik turut dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Sementara itu, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Pengecualian surcaj ICPT turut diberikan kepada pengguna bukan domestik yang terdiri daripada operator air dan pembetungan dalam kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1),” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]