Berita

Peniaga Kecil Lega Tidak Terjejas Dengan Pelarasan Tarif Elektrik



KUANTAN, 26 Dis (Bernama) -- Para peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup kini boleh menarik nafas lega kerana pelarasan tarif elektrik di Semenanjung mulai tahun depan tidak menjejaskan mereka dan hanya melibatkan pengguna bekalan tinggi.

Marzaitul Husna Abu Johar, 29, yang mengusahakan perniagaan gula kabung dan sambal hitam di Kampung Peruang, Lipis di sini, berkata walaupun bengkelnya secara purata menghasilkan sehingga 200 buku gula kabung sebulan, bil elektrik bulanan masih di bawah 600 kilowatt-jam (kWj) serta mendapat rebat 2 sen/kWj di bawah pelarasan tarif itu. 

Dia berkata sebagai peniaga yang tidak berpendapatan tetap, keputusan kerajaan untuk 'melindungi' rakyat adalah langkah positif dalam membantu masyarakat.

"Bayaran bulanan bil elektrik bagi bengkel untuk hasilkan produk secara purata ialah RM36 dan saya agak lega kerana kami tidak akan terjejas selepas pelarasan tarif baharu nanti… setakat ini, bil bulanan kami mampu bayar dan rasa tidak terbeban... susah juga kalau bil naik, ia sudah tentu akan memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga kami kerana kos sara hidup kini agak tinggi," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2024 yang dilaksana di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Pengumuman itu dibuat susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kWj bagi penggunaan elektrik sebanyak 600kWj dan ke bawah sebulan.  

Peniaga biskut coklat cip Wan Mohammad Amir Wan Yusof, 31, pula berkata dia sememangnya mengamalkan langkah penjimatan elektrik bagi mengelak daripada membayar bil yang tinggi.

"Kalau tak guna kipas dan lampu, memang saya tutup suis... setakat ini, kami hanya pakai satu ketuhar kecil di rumah bagi menghasilkan biskut untuk dijual secara kecil-kecilan," katanya.

Bagi pengusaha sajian pencuci mulut Norhabibah Herman, 32, selepas ini dia akan cuba mengamalkan langkah penjimatan bagi mengelak daripada terbeban dengan bayaran bil elektrik yang tinggi.

Sebagai peniaga yang menghasilkan krep durian sejak tiga tahun lepas di Kuantan, Norhabibah berkata dia perlu mengguna beberapa peti sejuk untuk menyimpan produk supaya tahan lama dan segar ketika dijual.

"Kena cuba juga untuk berjimat sebab perniagaan saya memang perlukan peti sejuk untuk menyimpan produk yang dihasilkan... selepas ini, perkakas elektrik lain yang tidak digunakan kena tanggalkan dari soket dan tidak boleh membazir dengan membiarkan lampu serta kipas sentiasa terpasang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]