GEORGE TOWN, 25 Dis (Bernama) -- Golongan B40 mampu menarik nafas lega selepas pengumuman Suruhanjaya Tenaga (ST) berhubung pengguna dengan bil elektrik bulanan bawah RM220 masih mendapat rebat dua sen/kwj seperti sediakala.
Malah mereka menyifatkan ia menunjukkan kerajaan prihatin dan mengambil kira kos sara hidup rakyat ketika ini yang semakin meningkat terutama golongan B40, namun pada masa sama akan terus mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan elektrik.
Seorang pekerja kilang Roz Azizi Mohamad Ismail,38, berkata dia sekeluarga seboleh-bolehnya berjimat dalam penggunaan elektrik di rumah dan memilih perkakasan elektrik jimat tenaga.
Ros Azizi dari Bertam dan memiliki tiga anak lelaki berusia empat hingga 11 tahun berkata perkakas elektrik di rumahnya sekadar asas sahaja, malah selesa hanya menggunakan kipas angin.
"Beli barangan elektrik jimat tenaga mahal sedikit tetapi sebenarnya berbaloi kerana saya dapat berjimat terhadap bil elektrik, contohnya sebelum ini saya guna mesin basuh tidak jimat tenaga dan setiap bulan bil elektrik boleh mencecah hingga lebih RM50.
"Sejak ia rosak dan saya tukar kepada mesin basuh jimat tenaga, purata bil elektrik saya setiap bulan sekitar RM40 sahaja. Selain itu saya juga selalu pesan kepada isteri supaya cabut semua palam perkakas elektrik selepas guna kerana ia juga antara cara berjimat," katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, ST dalam kenyataan memaklumkan tarif elektrik mulai tahun hadapan akan diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api itu, mengikut mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).
Seperti diumumkan, pengguna dengan bil elektrik bulanan bawah RM220 masih mendapat rebat dua sen/kwj seperti sediakala, justeru setiap pengguna wajar memantau penggunaan mereka untuk kekal menikmati caj yang rendah.
Seorang suri rumah, Nornadila Jamaludin, 35, berkata dia akan memastikan semua suis peralatan elektrik akan dimatikan dan palam perkakas elektrik dicabut daripada sumber elektrik jika tidak digunakan kerana ia bukan sahaja dapat berjimat malah lebih selamat.
Mereka sekeluarga, katanya juga akan memastikan semua lampu bilik atau ruang di rumah dimatikan sekiranya tiada sesiapa di situ bagi mengelak pembaziran elektrik.
"Hanya suami yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta, jadi mahu atau tidak mahu kami perlu berjimat dan caranya ialah dalam penggunaan elektrik,” katanya.
Nornadila yang memiliki empat anak berterima kasih kepada kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa cakna terhadap golongan B40 sebelum membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkaitan pentadbiran kerajaan.
Seorang peniaga nasi lemak di Sungai Dua, Siti Suhana Abdul Halim berkata walaupun dia berniaga lima hari seminggu, bil elektriknya masih sekitar RM70 hingga RM100 sebulan bergantung kepada penggunaan elektrik ketika memasak.
Menurut Siti Suhana dia sememangnya menggunakan perkakas elektrik untuk memasak menu jualannya terutama nasi lemak, sambal dan telur rebus kerana lebih mudah serta cepat.
"Selalunya saya akan masak sambal dalam kuantiti yang banyak iaitu boleh menampung untuk kegunaan dua hari dengan menggunakan periuk elektrik dan sebenarnya ia lebih jimat berbanding guna gas memasak," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]