Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli dan Aisha Hani Nor Azmir
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Penggunaan tenaga solar di negara ini perlu diperluas segera memandangkan ia berpotensi menjadi antara sumber terpenting untuk tenaga elektrik, menurut seorang pakar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Shahino Mah Abdullah berkata pada masa ini, jumlah peratusan tenaga yang dijana dengan solar masih rendah walaupun Malaysia mempunyai kelebihan dalam menerima jumlah cahaya matahari yang tinggi sepanjang tahun.
“Terdapat banyak lagi ruang untuk Malaysia memperluas loji tenaga suria bagi memastikan ia menjadi sumber tenaga utama negara. Sumber tenaga solar bukan sahaja bersih, ia adalah sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh diterima secara percuma terus daripada matahari.
“Sektor pembuatan panel solar yang semakin rancak kini telah berjaya menurunkan harga panel solar ke paras terendah dan disokong dengan pelbagai insentif bagi menggalakkan pemasangan sistem tenaga ini baik untuk individu mahupun syarikat swasta dan kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas mengenai pelarasan tarif elektrik pada tahun hadapan yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT), satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), bagi membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.
Pada masa sama, Shahino berkata tenaga solar bukan sesuatu yang asing di Malaysia kerana terdapat banyak loji tenaga solar yang telah dibangunkan oleh syarikat tempatan termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pembekal tenaga elektrik utama di negara ini.
Beliau berkata rata-rata rakyat Malaysia juga berminat dengan sumber tenaga bersih itu, namun ia tidak mudah untuk individu berpendapatan sederhana dan rendah kerana melibatkan kesesuaian kediaman bagi pemasangan sistem berkenaan serta kos permulaan yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya bagi individu yang berkemampuan dan berminat untuk pemasangan sistem tenaga solar, Program Net Energy Metering (NEM) adalah satu daripada pilihan terbaik untuk mereka.
“Melalui program ini, lebihan tenaga solar yang dijana di rumah dengan panel solar akan disalurkan semula ke grid dan ia akan menjimatkan bil eletrik bulanan. Dengan permintaan tenaga elektrik yang meningkat saban tahun, langkah ini membantu pembekal tenaga elektrik memenuhi keperluan tenaga negara.
“… ini sekali gus akan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang memberi impak negatif kepada alam sekitar dan membantu negara dalam mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Jasrul Jamani Jamian berkata pemasangan panel solar fotovoltan (PV) dapat mengurangkan penggunaan tenaga daripada TNB sekali gus pengguna tidak akan terkesan dengan sebarang bentuk nilai ICPT.
“Bagaimanapun, pengguna perlukan dana permulaan yang agak tinggi bagi pemasangan solar PV ini dan jika dibandingkan dengan 10 tahun dahulu, harga solar PV hari ini adalah jauh lebih rendah. Sebagai contoh, 10 kilowatt peak (kWp) pada 10 tahun lepas adalah kira-kira RM140,000, kini harganya RM40,000,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]