Berita

Continental Pasang Sistem Solar Di Kilang Alor Setar



KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Continental Tyre AS Malaysia Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Solarvest Holdings Bhd untuk pemasangan sistem fotovoltan (PV) atas bumbung berkuasa 618.75 kWp di kilang membuat tayarnya di Alor Setar, Kedah.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Continental berkata sistem PV solar itu akan membantu mengimbangi sekurang-kurangnya 536 tan metrik pelepasan karbon selain menjimatkan lebih 800 megawatt-jam (MWj) dalam penggunaan elektrik setiap tahun.

"Continental komited untuk kecekapan tenaga yang lebih tinggi serta pembuatan yang mampan alam sekitar (dan berada pada) laluan ke arah neutraliti karbon menjelang 2040," kata kenyataan itu, sambil menambah langkah itu akan memanfaatkan skim Pemeteran Tenaga Bersih (MEB).

Skim MEB kerajaan yang diperkenalkan pada 2016 menggalakkan pengguna elektrik iaitu isi rumah dan perniagaan memasang sistem PV di atas bumbung premis mereka untuk menukar cahaya matahari kepada tenaga suria dan menjual lebihan tenaga yang dijana kepada grid nasional. 

Pengurus kilang Continental, Noor Izwan Ismail berkata pemasangan sistem PV itu menunjukkan kedua-dua pertumbuhan mampan dan inovasi yang seiring dengan penyelesaian mesra alam. 

“Di Continental, kami mempunyai empat bidang sasaran utama yang perlu dicapai menjelang 2050, salah satunya ialah kecekapan tenaga dan sumber yang tinggi, dijalinkan dengan operasi pelepasan yang agak rendah,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata penyiapan projek itu akan membawa mereka selangkah lebih dekat ke arah sasaran sifar bersih Malaysia.

Beliau berkata langkah Continental ke dalam tenaga bersih adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia ( NETR) yang menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050, memupuk industri pembuatan yang lebih hijau.

Pelaburan dalam teknologi hijau dan inisiatif menunjukkan pemacuan sektor swasta serta awam untuk membuat peralihan kepada masa depan yang lestari, kata Chong.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]