Berita

Peralihan Kepada Tenaga Bersih Perlu Sokongan Kewangan, Teknologi Dan Infrastruktur Menyeluruh - Pm Anwar

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (left) and Foreign Minister Datuk Seri Mohamad Hasan arrives at the Asia Zero Emission Community (AZEC) Leaders’ Summit at the Japan Prime Minister's Office, today. Prime Minister is on five day Working visit to Japan.

Daripada Ravichandran D.J Paul

TOKYO, 18 Dis (Bernama) -- Usaha menangani cabaran dan meraih peluang dalam tenaga bersih, di samping memastikan ‘peralihan yang saksama’, memerlukan sokongan menyeluruh terutama melibatkan pembiayaan, insentif, teknologi dan infrastruktur, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia juga percaya peralihan tenaga seharusnya saksama, inklusif dan adil, dengan tindakan ke arah kemajuan merangkumi model kolaborasi dan kerjasama yang progresif.

“Oleh itu, Malaysia akan mengalu-alukan sokongan dan kerjasama berterusan dari Jepun, Australia, dan lain-lain memandangkan kita berusaha untuk mempercepat perjalanan peralihan tenaga kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di sini, pada Isnin.

Beliau berkata Malaysia, dengan sendiri, akan terus mengutamakan penyelesaian praktikal yang memacu kemajuan, mengimbangi cita-cita berkaitan iklim, kelestarian dan pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan (di bawah pentadbiran) saya pada Ogos telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, yang mengambil daripada, antara lain, inisiatif AZEC,” katanya.

Anwar berkata Malaysia optimis AZEC akan berfungsi sebagai platform bagi tempoh yang panjang, menggalakkan kerjasama yang saling memberi manfaat bersama dalam peralihan tenaga, khususnya di rantau itu.

AZEC ialah platform kerjasama yang bertujuan memajukan usaha keneutralan karbon dan peralihan tenaga untuk mencapai sasaran pelepasan sifar.

Jepun komited untuk menyediakan sokongan kewangan sehingga US$8 bilion bagi tempoh sehingga 2030 untuk projek tenaga boleh baharu serta inisiatif penjimatan tenaga di negara anggota AZEC.

Negara AZEC termasuk Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Anwar turut memuji Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida atas inisiatif AZEC.

Sementara itu, Kishda ketika menyampaikan ucapan perasmian di sidang kemuncak itu berkata, Jepun bersedia membantu Asean merealisasikan pelepasan sifar melalui pelbagai usaha.

Penyahkarbonan yang hadir dengan pelbagai cabaran dan inovasi adalah faktor utama untuk Jepun bersedia meneraju usaha itu, katanya.

Beliau berkata Dasar Asas Transformasi Hijau (GX) Jepun menetapkan pengawalseliaan, pembiayaan dan keutamaan pembangunan teknologi untuk transformasi hijau pelbagai sektor perindustrian, dengan tonggak utama dasar tersebut adalah sokongan untuk peralihan tenaga di Asia.

Kishida berkata berlandaskan dasar yang dilancarkan pada 2022 itu, lebih 350 projek telah dilancarkan di negara rakan AZEC dengan kerjasama daripada pelabur Jepun.

Beliau yakin bahawa pasaran penyahkarbonan akan menarik modal dari seluruh dunia walaupun penyahkarbonan AZEC membabitkan kos yang tinggi.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]