Berita

Kerjasama Universiti-industri Perlu Fokus Bidang Digital, Tenaga Boleh Baharu



PUTRAJAYA, 14 Dis (Bernama) -- Aspek pembangunan digital dan penggunaan tenaga boleh baharu merupakan antara fokus baharu yang perlu dititikberatkan menerusi kerjasama industri dan universiti sebagai manfaat jangka panjang.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata kedua-dua komponen berkenaan merupakan bidang masa depan yang sedang berkembang pesat, justeru pihak industri dan universiti harus memulakan langkah awal dengan mula melatih para pelajar dalam bidang itu.

“Bagi kerjasama dengan syarikat telekomunikasi seperti Ericsson sebagai contoh, mereka merupakan syarikat gergasi yang boleh menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti.

"Di Jepun dan Jerman pula, industri bekerjasama rapat dengan universiti bagi kembangkan penyelidikan mereka seterusnya produk yang dihasilkan itu dipasarkan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Penghargaan Rakan Industri 2023 UMT (MPRI-UMT) di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama industri dan universiti dalam negara juga akan menghasilkan manfaat bersama yang seterusnya turut membuka peluang kepada pelajar dilatih untuk menceburi bidang pekerjaan dalam waktu singkat di samping memperoleh gaji premium RM4,000 sebulan.

Ia seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu menyasarkan peningkatan peratusan graduan memperoleh gaji premium RM4,000 sebulan dengan merancakkan hubungan dengan industri menerusi langkah spesifik dan strategik.

Menurut Mazlan, UMT juga aktif menjalin kerjasama dengan pihak industri antaranya PKT Logistics Sdn Bhd, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd dan Konsortium Pelabuhan Kuantan.

“Fokus yang menjadi keutamaan pihak universiti ialah kerjasama bersifat strategik, mempunyai sasaran untuk memperkemas operasi, teknologi dan amalan semasa serta mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” katanya.

Sejak 2020 hingga kini, katanya UMT telah melaksanakan 95 projek dengan kerjasama rakan industri melalui geran penyelidikan industri melibatkan peruntukan hampir RM7.6 juta.

MPRI-UMT merupakan majlis yang diadakan setiap dua tahun sebagai menghargai dan mengiktiraf pemain industri yang telah membantu universiti itu dalam menjayakan aspek pemerkasaan bakat, pembangunan pelajar dan keunggulan penyelidikan dan inovasi.

Kira-kira 130 industri antaranya Bank Rakyat, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan CelcomDigi Berhad diraikan dalam majlis itu dengan pemberian Anugerah Rakan Industri.

Pada majlis sama, turut dilancarkan program Siswa Mall yang diadakan dengan kerjasama CelcomDigi Bhd sebagai sokongan dan galakan UMT kepada mahasiswa yang menjalankan perniagaan menerusi platform e-dagang.

-- BERNAMA


 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]