Berita

Kab Bekerjasama Dengan Agromate Terajui Penjanaan Biotenaga



KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pakar penyelesaian tenaga mampan dan kejuruteraan, Kinergy Advancement Bhd (KAB) bekerjasama dengan pembekal baja terkemuka, Agromate Holdings Sdn Bhd untuk menerajui biotenaga atau tenaga boleh baharu (RE) merentasi kilang minyak sawit (POM).

Dalam satu kenyataan, KAB berkata menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak berhasrat memanfaatkan pasaran yang sebahagian besarnya kurang diterokai dengan potensi meraih pendapatan berulang yang lebih besar, memandangkan Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, yang mempunyai 447 POM berkapasiti 119.5 juta tan setiap tahun.

KAB, yang sebelum ini dikenali sebagai Kejuruteraan Asastera Bhd, turut mengumumkan entiti penyelesaian tenaga boleh baharunya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pemegang saham dengan Agromate untuk mewujudkan kerjasama itu menerusi Genplan Advisory & Management Sdn. Bhd.

Genplan akan menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan yang disesuaikan dengan projek mesra alam.

Timbalan Pengerusi Eksekutif KAB dan Pengarah Urusan kumpulan Datuk Lai Keng Onn berkata syarikat itu bergerak dengan agresif selaras dengan usaha global untuk beralih kepada penyelesaian tenaga mampan.

Beliau berkata kerjasama itu akan mempercepatkan projek biotenaga termaju dan penyelesaian tenaga mampan yang memenuhi kriteria alam sekitar.

Selain itu, biotenaga merupakan antara elemen penting dalam peralihan tenaga yang digariskan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, katanya.

"Kami juga boleh menghasilkan baja bukan berasaskan bahan api fosil daripada biogas, yang akan menyumbang kepada amalan pertanian mampan, menggalakkan kesihatan tanah dan mengurangkan pergantungan kepada baja kimia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Agromate Edward Tang Ming Yng berkata kerjasama dengan KAB menandakan pencapaian pertama bagi kumpulan itu dari segi sumber boleh diperbaharui.

“Kami berharap dapat meraih lebih banyak lagi pencapaian masa depan menerusi usaha Agromate Group yang terus komited terhadap tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon dengan ketara, sekali gus memastikan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]