Berita

Seda Malaysia Sasar Teraju Tanggungjawab Dalam Inisiatif Kluster Biotenaga

Credit: SEDA

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia menyasar untuk meneraju tanggungjawab ke arah masa depan tenaga lestari dengan mempelopori inisiatif menggalakkan pengelompokan biotenaga.

Menerusi kenyataan pada Isnin, agensi itu berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama bagi mempercepat peralihan tenaga yang bertanggungjawab untuk Malaysia, sejajar dengan matlamat kemampanan global.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hamzah Hussin berkata rancangan mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan memanfaatkan teknologi baharu di samping menggalakkan kerjasama antara sektor yang berbeza dengan mempunyai potensi biotenaga yang cerah.

Beliau berkata pihaknya turut komited untuk merapatkan jurang antara potensi yang belum diteroka mengikut Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) oleh SEDA Malaysia.

“SEDA Malaysia telah mencadangkan beberapa strategi untuk meningkatkan industri biotenaga seperti menggalakkan pertukaran teknologi antara Malaysia dan negara maju selain bekerjasama dengan entiti sektor swasta dan syarikat tenaga boleh baharu.

“Justeru, strategi itu akan mewujudkan kesan sampingan peluang ekonomi dan pelaburan dalam teknologi inovatif untuk menukar pelbagai jenis sisa biojisim kepada tenaga elektrik atau bentuk tenaga lain.” katanya.

Beliau berkata semua usaha itu menjurus ke arah mewujudkan penyelesaian mesra alam di samping menyediakan peluang pekerjaan dalam industri.

Hamzah berkongsi perkara itu dalam perbincangan panel di Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata inovasi mempunyai dua peranan dalam mencapai aspirasi gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050.

Bagi memupuk kemajuan tenaga boleh baharu dalam negara, SEDA Malaysia berhasrat untuk menambah baik mekanisme tarif galakan (FiT), membolehkan penyertaan sumber tenaga baharu seperti tenaga geoterma dan angin, katanya.

Oleh yang demikian, SEDA Malaysia berminat untuk meneroka pelbagai sumber pembiayaan yang berpotensi iaitu cukai karbon, peratusan sumbangan daripada jualan tenaga boleh baharu kepada negara jiran, dan mengagihkan semula dana daripada subsidi bahan api fosil kepada dana tenaga boleh baharu.

Bagi mempercepat peralihan tenaga melalui inovasi, SEDA Malaysia dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah berjaya melancarkan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-6 2024, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. pada 20 hingga 21 Ogos, 2024.

Sidang kemuncak itu bertujuan memangkin dialog transformatif mengenai penyelesaian tenaga lestari,

Usaha itu mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk memacu peralihan tenaga global melalui strategi inovatif.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]