Malakoff Managing Director & Group CEO Anwar Syahrin Abdul Ajib and Masdar CEO Mohamed Jameel Al Ramahi during the exchange of the HOA (Credit: Malakoff)
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).
Kedua-dua firma itu telah memeterai perjanjian utama yang menggariskan kerjasama mereka untuk mengkaji projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang prospektif di Semenanjung Malaysia, kata Malakoff dalam satu kenyataan.
Majlis memeterai perjanjian itu telah diadakan semasa Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) mengenai Perubahan Iklim (COP28).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata kerjasama ini adalah bukti pengembangan mantap Malakoff dalam RE, sejajar bukan sahaja dengan saranan global tetapi juga hasrat Malaysia untuk mencapai status sifar bersih menjelang 2050.
Beliau turut menambah Malakoff adalah pemain berpengalaman dalam industri penjanaan kuasa, dan ini melengkapkan kekuatan pelaburan Masdar yang hebat dalam sektor RE.
"Malakoff berharap dapat bekerjasama dengan Masdar dalam projek yang dicadangkan dan membayangkan kemungkinan melanjutkan kerjasama mereka melangkaui inisiatif ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi berkata sebagai perintis tenaga bersih dengan pengalaman lebih 17 tahun dalam melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui dan bersih secara berskala, Masdar berharap dapat membantu membina kapasiti RE Malaysia menerusi perjanjian ini bagi menyokong sasaran sifar bersihnya.
Perjanjian itu menyaksikan kedua-dua pihak akan sama-sama menjalankan penilaian teknikal dan komersial dan/atau kajian prakebolehlaksanaan ke atas projek tertentu yang telah dikenal pasti.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama mengendalikan tugas dan aktiviti menyeluruh yang terlibat dalam pembangunan, pelaksanaan dan pengurusan projek, termasuk penstrukturan dana pembiayaan.
Masdar, perintis dan kuasa besar dalam tenaga bersih, telah meletakkan Emiriah Arab Bersatu di barisan hadapan peralihan tenaga global melalui komitmen pelaburannya dalam projek-projek RE di lebih 40 negara.
Masdar baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk pelaburan sebanyak US$8 bilion untuk projek RE 10,000 MW di Malaysia.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]