Berita

Penggunaan Arang Batu, Pelepasan C02 Sektor Tenaga Global Susut Pada 2024

File Photo

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Tahap penggunaan arang batu dalam penjanaan tenaga dijangka semakin susut mulai 2024 berikutan pilihan sumber solar dan angin yang semakin popular di peringkat global, kata sebuah firma perundingan tenaga.

Dalam kenyataan hari ini, Rystad Energy berkata bekalan tenaga elektrik baharu daripada sumber tenaga boleh diperbaharui (TBB) juga diunjur mengatasi pertumbuhan permintaan tenaga dan membawa kepada penggantian arang batu bermula tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.

"Berikutan itu, penjanaan arang batu akan susut sedikit kepada 10,332 terawatt jam (TWh) pada 2024 iaitu berkurangan 41 TWh daripada 2023.

“Ini mungkin kecil tetapi menjadi petunjuk kepada perkara yang bakal berlaku apabila TBB meneruskan trajektori pertumbuhannya," kata syarikat yang berpangkalan di Norway itu.

Rystad Energy berkata penyusutan penggunaan arang batu itu akan turut mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang berkaitan.

"Peranan dominan arang batu dalam usaha penjanaan tenaga dunia itu menyebabkan sektor kuasa menjadi penyumbang terbesar pencemaran global iaitu kira-kira 40 peratus daripada semua pelepasan," katanya.

Syarikat itu berkata pelaburan dalam kapasiti arang batu serta penggunaannya secara menyeluruh juga telah merosot di Eropah dan Amerika Utara dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan gabungan faktor dasar-dasar pelepasan lebih ketat serta penawaran bekalan gas asli yang lebih berpatutan.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan berterusan di Asia, terutama China, telah menyebabkan penggunaan arang batu global berterusan. 

“Walaupun begitu, arang batu akan beransur-ansur digantikan susulan perkembangan pesat sumber kuasa yang rendah karbon dan mewujudkan sistem lebih bersih ketika pelaburan dalam kapasiti baharu di Asia berterusan dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Naib Presiden Kanan Penyelidikan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Rystad Energy Carlos Torres Diaz berkata penggunaan arang batu dalam sektor kuasa kini di paras kemuncak.

"Penurunan jumlah penjanaan arang batu pada 2024 mungkin kecil secara rasminya namun menandakan permulaan era tenaga boleh diperbaharui dalam pasaran tenaga.

"Namun, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi dalam sektor tenaga elektrik boleh diperbaharu. Atas sebab itu, loji janakuasa arang batu dan gas asli akan terus berperanan penting dengan menyediakan asas bekalan dan fleksibiliti beban," katanya.

Rystad Energy berkata Asia misalnya telah menambah lebih daripada 40 gigawatt (GW) kapasiti arang batu baharu bagi setiap daripada lima tahun sebelum ini dan dijangka menambah 52 GW pata tahun depan dengan kebanyakan daripada kapasiti ini adalah di China dan seterusnya India serta Indonesia.

Penambahan kapasiti itu juga dijangka berterusan sehingga 2027, walaupun pada kadar lebih perlahan dan hanya selepas itu loji janakuasa arang batu akan mula berkurangan.

"Kadar penggunaan loji janakuasa arang batu baharu Asia ini akan ditentukan oleh pertumbuhan permintaan elektrik, pertumbuhan kapasiti yang boleh diperbaharui, usia serta tahap infrastruktur arang batu sedia ada di setiap negara," katanya.

Walaupun penjanaan arang batu terus berkembang, Rystad Energy berkata penambahan tahunan itu akan terus dibayangi oleh kapasiti TBB yang berkembang pesat sejak 2010 akibat penurunan kos pembuatan serta sasaran nasional dan serantau yang tinggi.

"Hampir 300 GW fotovoltan solar (PV) dan 140 GW kapasiti angin akan dipasang di serata dunia pada 2024 dengan lebih separuh daripadanya ditambah di Asia yang mempunyai keperluan lebih mendesak untuk memulakan peralihan penjanaan kuasa arang batu.

"Ini akan menjadikan perbelanjaan modal global dalam solar PV dan kapasiti angin kepada lebih daripada US$600 bilion tahun depan,” katanya.

Selain itu, Rystad Energy berkata kecekapan loji kuasa TBB adalah lebih rendah berbanding penjanaan kuasa bahan api fosil.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]