Berita

Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong



Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.

Yang di-Pertuan Agong bertitah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan bahagian tenaga hijau dan mampan dalam jumlah campuran tenaga utamanya.

“Oleh itu, aspirasi peralihan ini diunjurkan meningkat dengan ketara, bukan hanya purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara daripada aktiviti peralihan tenaga tetapi juga menjana lebih banyak pekerjaan hijau untuk rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka pada perasmian Pavilion Malaysia pada Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia telah menyatakan usahanya untuk menangani pemanasan global dengan mengemukakan sumbangan nasional yang ditentukan yang terkini pada 2021 berdasarkan prinsip tanggungjawab yang sama tetapi berbeza.

Seri Paduka bertitah tanpa pengecualian, setiap negara perlu menyumbang untuk memerangi perubahan iklim.

“Komitmen sedemikian melibatkan pelaksanaan dasar yang teliti apabila kebolehcapaian kewangan dan teknologi menjadi halangan tambahan untuk ekonomi membangun dan sedang pesat membangun.

“Oleh itu, merapatkan jurang dalam teknologi dan pembiayaan antara negara-negara maju dan membangun penting untuk menyediakan akses yang saksama kepada penyelesaian tenaga bersih pada kos berpatutan.

“Ini termasuk mengambil kira cabaran dan peluang unik yang dimiliki setiap negara,” titah Seri Paduka.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bertemakan ‘Going Beyond: Green Growth, Resilient Community, Sustainable Planet’, Pavilion Malaysia di COP28, diterajui oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), menepati pendekatan negara terhadap isu iklim dan biodiversiti. 

Pavilion ini berperanan sebagai manifestasi kerjasama, elemen teras dalam kebudayaan Malaysia, menyatukan pemimpin pemikir Malaysia dan antarabangsa dalam sektor awam, swasta dan sosial.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]