Berita

Schneider Electric Gesa Perniagaan Merealisasikan Matlamat Kemampanan Melalui Pendigitalan

Country President for Malaysia Schneider Electric Eugene Quah in a Panel Discussion about Schneider Electric Sustainability Survey Report 2023 Media Event, here, today.

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Syarikat-syarikat di Malaysia digalakkan untuk merealisasikan matlamat kemampanan mereka dengan mengguna pakai pendigitalan dan menyelesaikan isu-isu pelaksanaan jangka panjang.

Presiden Negara Schneider Electric Malaysia, Eugene Quah berkata ketika negara menelusuri keperluan mendesak untuk kemampanan, perniagaan mesti mengambil peranan kepimpinan dalam memacu perubahan, bekerjasama dengan kerajaan dan memanfaatkan penyelesaian inovatif untuk mencipta masa depan yang lebih mampan.

“Dengan strategi yang betul dan komprehensif, perniagaan akan mencapai sasaran kemampanan mereka. Selain itu, jika mereka mahu mencapai kecekapan tenaga, di sinilah pendigitalan dan kemampanan diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media 'Jurang Tindakan Hijau Kemampanan Schneider Electric' 2023 di sini hari ini.

Tinjauan kemampanan 2023 Schneider Electric, dengan kerjasama platform penyelidikan pasaran Milieu Insight mendedahkan bahawa 93 peratus daripada responden menyifatkan kemampanan sebagai keutamaan yang tinggi.

Kira-kira 57 peratus responden juga berkata syarikat mereka mempunyai jabatan atau pasukan khusus yang bertanggungjawab untuk memacu matlamat dan strategi kemampanan.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa 95 peratus pemimpin perniagaan mengakui pentingnya peranan pendigitalan dalam strategi kemampanan korporat mereka.

"Ini menggariskan keperluan untuk merapatkan jurang di antara niat dan tindakan, menekankan peranan penting teknologi dan kecekapan tenaga dalam membentuk landskap kemampanan korporat," kata Schneider Electric.

Kira-kira 4,500 pemimpin perniagaan dari sembilan negara Asia Timur, termasuk 500 responden dari Malaysia, telah dikaji selidik mengenai perspektif mereka tentang kemampanan dan alam sekitar.

Sementara itu, Quah berkata Schneider Electric menyediakan penyelesaian yang memanfaatkan pendigitalan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dan sumber bagi mempercepatkan agenda kemampanan.

“Fokus utama kami ialah penyelesaian pengurusan tenaga, membolehkan organisasi menyelaraskan operasi, mengoptimumkan proses dan meningkatkan kecekapan secara keseluruhan.

“Kami juga komited untuk memacu transformasi digital merentas perniagaan. Penyelesaian transformasi digital kami merangkumi pendekatan yang holistik, menggabungkan teknologi, strategi dan pengurusan perubahan,” katanya.

-- BERNAMA  




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]