Berita

Melaka Cadang Bangunkan Kursus Baharu Berkaitan Ev, Tenaga Solar Di Masjid Tanah

Ab Rauf Yusoh fb

MELAKA, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka bercadang membangunkan kursus baharu berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kawasan perindustrian di Masjid Tanah, Alor Gajah.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pihaknya bagaimanapun masih menunggu perincian pelaksanaan kursus baharu itu daripada kerajaan Persekutuan.

"Kita belum lagi mendapat maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan kursus baharu bagi bidang TVET tetapi kita bersedia membangunkan kursus EV dan tenaga solar yang merupakan sebahagian usaha memacu industri tenaga boleh baharu, sekali gus mengadaptasi apa juga teknologi baharu yang diperkenalkan.

"Usaha ini memerlukan satu perancangan dan penyelidikan yang agak teliti daripada pelbagai aspek sebelum dilaksanakan dan kerajaan negeri mengalu-alukan sekiranya kerajaan Pusat hendak membawa teknologi ini ke Melaka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Penutup Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET Melaka 2023 yang turut dihadiri Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Ab Rauf berkata pengenalan kursus baharu di bawah TVET itu dapat menarik kedatangan lebih banyak pelabur asing ke Melaka dengan pelbagai teknologi tinggi.

Beliau berkata ia secara tidak langsung meningkatkan pendapatan negeri selain lebih banyak peluang pekerjaan baharu dapat ditawarkan kepada anak tempatan.

Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid mengumumkan kursus baharu berkaitan EV dan tenaga solar akan diperkenalkan di bawah TVET menerusi peruntukan RM6.8 bilion diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 lepas dan Melaka akan diberi keutamaan bagi pelaksanaannya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Ab Rauf berkata Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menawarkan hampir 900 peluang pekerjaan melibatkan 20 majikan termasuk daripada industri antarabangsa.

Beliau berkata karnival itu bertujuan meningkatkan pengetahuan tentang bidang TVET kepada setiap lapisan masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa, menerusi pelbagai medium atau segmen, antaranya forum, seminar, pameran serta pertemuan bersama dengan pihak industri.

"Kerajaan negeri optimis dan komited dalam mengembang dan memperkasa program TVET ini sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang telah memperkenalkan konsep TVET MADANI merangkumi aspek daya saing, pembelajaran sepanjang hayat, pembelajaran lestari dan kemahiran yang holistik.

"Kita masih memerlukan langkah yang proaktif dan inovasi tinggi bagi meningkatkan permintaan terhadap bidang kerjaya TVET ini khususnya dalam kalangan anak tempatan," katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]