Berita

Pindaan Ordinan Elektrik Sarawak Benarkan Pemilik Rumah Jual Lebihan Kuasa - Abang Johari

Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 22 Nov (Bernama) -- Pindaan Ordinan Elektrik Sarawak yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam membolehkan pemilik rumah yang mempunyai panel solar dengan kapasiti pengeluaran sehingga 50 kilowatt (KW) di kediaman mereka menjual lebihan elektrik kepada grid bekalan utama.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata undang-undang itu akan memberi sumber pendapatan baharu kepada pemilik rumah dan pada masa sama tiada lesen diperlukan untuk pemasangan panel dengan kapasiti tersebut.  

"Ini juga akan menjadi sumber tambahan kuasa bersih kepada sumber boleh diperbaharui lain terutamanya tenaga hidro," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya, Sarawakku, hari ini.

Kenyataan itu menyebut beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Persatuan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak di Denpasar, Bali, Indonesia dan beliau kini menghadiri Persidangan ke-41 Persekutuan Pertubuhan Jurutera ASEAN (AFEO) selama tiga hari di sana.

Beliau berkata undang-undang baharu itu akan membuka lebih banyak peluang kepada kumpulan jurutera di Sarawak kerana rumah memerlukan reka bentuk baharu selaras dengan dasar baharu itu yang disifatkannya sebagai sesuatu yang bersejarah. 

Mengenai pindaan Ordinan Pengagihan Gas negeri yang turut diluluskan DUN semalam, beliau berkata ia merupakan pindaan penting dan bersejarah yang akan memberi kuasa kepada Petros, syarikat minyak dan gas negeri untuk menjadi 'agregator' gas tunggal di Sarawak.

"Undang-undang itu akan menjadikan Petros, entiti tunggal yang bertanggungjawab untuk pengedaran gas di Sarawak sejajar dengan inisiatif Pelan Hala Tuju Gas negeri yang akan melibatkan kedua-dua gas petroleum cecair (LPG) dan bahan mentah gas luar pesisir kepada industri hiliran," katanya.

Beliau menambah hal itu turut membuka peluang kepada jurutera Sarawak memandangkan pelbagai bentuk perkhidmatan dan kepakaran kejuruteraan diperlukan untuk merealisasikan objektif pelan tersebut. 

Abang Johari yang tiba di Bali petang semalam bersama rombongannya akan menerima Anugerah Felo Kehormat oleh AFEO dan kemudian menyampaikan ucapan ringkas kepada 1,000 perwakilan dari 10 negara ASEAN. 

Mengiringi beliau Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri Datuk Zaidel Lariwoo dan para pegawai kanan kerajaan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]