Berita

Usaha Sama Jland Group-cenergi Laksana Solar Atas Bumbung, Penyelesaian Cekap Guna Tenaga Rm140 Juta



KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- JLand Group (JLG) dan Cenergi SEA Bhd menandatangani usaha sama untuk melabur sejumlah RM140 juta bagi melaksanakan sistem tenaga solar atas bumbung dan penyelesaian cekap guna tenaga bagi pengguna komersial dan perindustrian di semua taman perindustrian JLG seluas 4,479.50 hektar di di Johor.

JLG ialah cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp) manakala Cenergi pula anak syarikat UEM Group Bhd.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, JLG dan Cenergi menjelaskan menerusi usaha sama strategik itu, kedua-dua pihak akan melabur, memasang, mengendalikan operasi dan menyenggarakan peralatan solar atas bumbung serta melaksanakan penyelesaian cekap guna tenaga.

“Pelaburan fasa pertama dijangka menjana tenaga elektrik hijau kira-kira 13,000 megawatt sejam (MWh) dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 8,000 tan setahun daripada para pengguna komersial dan perindustrian,” tambah kedua-dua syarikat itu.

Pengarah Hartanah dan Infrastruktur JCorp dan Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Akmal Ahmad berkata dengan meningkatkan capaian kepada penyelesaian tenaga lestari di lokasi menerusi model perbelanjaan modal sifar,  JLG bertekad untuk menyokong penyewa dalam usaha memenuhi aspirasi sektor perindustrian untuk mencapai pertumbuhan lestari, di samping memenuhi keperluan sebagai perniagaan yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata penyelesaian solar atas bumbung akan membantu pemilik kilang dan perniagaan di taman-taman perindustrian itu menjimatkan kos bil elektrik sehingga 30 peratus, manakala penyelesaian cekap guna tenaga sedia menghasilkan penjimatan lagi 10 hingga 20 peratus.

“Syarikat perniagaan akan dapat mengurangkan jejak karbon masing-masing dengan ketara dan mencapai tahap Indeks Tenaga Bangunan (BEI) yang optimum, selaras dengan syarat baharu Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) 2023.

“Langkah ini memang diambil tepat pada masanya dalam usaha Malaysia mencapai pelepasan bersih sifar seawal 2050,” katanya dalam kenyataan yang sama.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]