Berita

Orang Ramai Disaran Utamakan Keselamatan Elektrik Semasa Banjir - Tnb



KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberi keutamaan dan menekankan kepentingan penggunaan peralatan elektrik secara berhemah sepanjang musim tengkujuh yang dijangka bermula hari ini hingga Mac tahun hadapan.

Pemangku Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB Wan Seri Rahayu Wan Mohamad Said dalam kenyataan hari ini mengingatkan orang ramai supaya menutup semua suis utama di premis masing-masing sekiranya air mula meningkat dan diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Dengan ramalan hujan lebat yang berterusan di beberapa negeri, kemungkinan berlakunya banjir di kawasan berkedudukan rendah semakin tinggi. Bagi penduduk di kawasan banjir, penting untuk mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta untuk berpindah.

“Mereka juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine menerusi talian 15454 atau menerusi Facebook TNB Careline jika terdapat pepasangan TNB yang terputus atau tumbang bagi tindakan segera, demi keselamatan awam selain terus memantau keadaan setiap pepasangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata TNB juga akan bertindak memutuskan bekalan elektrik ke kawasan terbabit untuk sementara waktu demi keselamatan orang awam dan ia hanya akan dipulihkan semula setelah air surut dan keadaan kembali selamat.

Dalam kenyataan sama, Wan Seri Rahayu turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh diambil semasa prabanjir, banjir dan selepas banjir.

Menurutnya antara perkara yang perlu dilakukan semasa prabanjir ialah mengalihkan peralatan elektrik ke aras yang lebih tinggi manakala semasa banjir, orang ramai perlu memastikan suis utama ditutup untuk mengelakkan renjatan elektrik dan tidak memasuki kawasan yang telah dinaiki air.

“Selain itu, elakkan daripada menyentuh peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ia bersalut dengan penebat, elak daripada mendekati atau menyentuh tiang besi atau pepasangan TNB yang terendam dalam air untuk mengelakkan risiko renjatan elektrik dan pastikan semua suis di soket aliran keluar ditutup,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar mengecas lebih awal bank kuasa bagi membolehkan mereka mengecas telefon bimbit untuk memudahkan urusan komunikasi dan matikan sistem sekiranya premis dipasang dengan sistem solar fotovoltaik sebelum meninggalkan rumah.

Bagi panduan keselamatan elektrik selepas banjir pula, katanya orang ramai dinasihatkan mematikan suis utama elektrik sebelum membersihkan alat elektrik dan memeriksa alat elektrik yang terendam oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) selain memantau anak-anak agar tidak mendekati talian elektrik rosak.

Wan Seri Rahayu juga memaklumkan bahawa TNB telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana banjir dengan persiapan rapi bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan turut menyeru orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dan gas dengan mengamalkan panduan keselamatan menjelang sambutan Deepavali.

Bagi keselamatan elektrik, orang ramai dinasihatkan untuk menguji Peranti Arus Baki (PAB) dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan. 

“Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta. Selain itu, pastikan wayar kelengkapan elektrik tidak koyak atau terdedah sebelum digunakan dan gunakan kelengkapan elektrik dan lampu hiasan dengan label keselamatan ST-SIRIM,” menurut kenyataan itu.

Bagi keselamatan gas pula, pastikan dapur gas memasak selamat dengan menggunakan perkakas dapur gas yang mempunyai label keselamatan ST-SIRIM dan peka dengan kewujudan bau kebocoran gas dapur memasak.

“Adakan bukaan pengudaraan secukupnya di kawasan dapur memasak dengan membuka tingkap atau pintu ketika memasak dan jangan tinggalkan dapur gas memasak ketika digunakan tanpa pengawasan sepenuhnya.

“Dapatkan perkhidmatan kontraktor gas yang berdaftar dengan ST untuk sebarang kerja pembaikan gas berpaip di rumah dan pastikan injap silinder gas ditutup sekiranya anda pulang ke kampung atau bercuti,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]