File pix
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan meneroka dan mengkaji potensi penggunaan turbin angin pada masa depan, bagi mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara ini.
Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkata ini kerana terdapat beberapa lokasi di negara ini yang boleh dibangunkan projek RE, selain ia sejajar hala tuju kelestarian untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
“Ada orang kata di Malaysia ini tidak cukup angin untuk buat turbin angin, namun sebenarnya terdapat beberapa tempat yang sesuai untuk melaksanakan projek tenaga angin termasuk di pantai timur dan beberapa lokasi terpilih di pantai barat semenanjung Malaysia.
“Malah pembangunan turbin angin pertama di Malaysia telah dilaksanakan di Bukit Cerakah, Selangor pada 2014, yang dapat menghasilkan bekalan elektrik yang mencukupi keperluan tenaga kepada lebih 1,000 buah rumah,” katanya.
Selain itu, Mohd Nazri berkata baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berjaya membangunkan sebuah turbin angin, yang mampu menjana kuasa elektrik secara efisien pada tahap kelajuan angin yang rendah, melalui revolusi teknologi bilah turbin angin.
Justeru beliau meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, meneliti kepakaran tempatan itu yang diyakini mampu dibangunkan dengan kos efektif.
Sementara itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) meminta kerajaan mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik pada masa depan, memandangkan iklim negara yang mengehadkan kesediaan sumber solar sepanjang tahun.
“Baru-baru ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke Abu Dhabi dan Masdar City yang merupakan ibu pejabat agensi tenaga boleh diperbaharui antarabangsa, yang menghubungkan organisasi kerajaan di Timur Tengah.
“Masdar City mempunyai solar farm yang sangat luas, sesuai dengan ketersediaan mereka yang mempunyai kawasan tanah lapang dan terdedah dengan sinaran matahari sepanjang tahun, namun kini kerajaan UAE sedang membina empat loji nuklear sebagai sumber tenaga alternatif mereka, jadi adakah kerajaan juga akan mempertimbangkan sumber ini,” katanya.
Sementara itu, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mencadangkan kepada kerajaan supaya dapat menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Kecerdasan Buatan (AI), yang dianggotai oleh ahli Parlimen, pemain industri, Universiti Teknologi Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Beliau berkata penubuhan majlis itu sebagai persediaan negara untuk berhadapan segala kemungkinan perkembangan teknologi, serta melonjakkan industri AI ke tahap yang lebih hebat.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]