Berita

Pemberian Rebat Elektrik Bukti Kerajaan Prihatin Bantu Golongan Miskin Tegar



IPOH, 19 Okt (Bernama) -- Pemberian rebat elektrik sehingga RM40 sebulan khusus kepada golongan isi rumah miskin tegar memperlihatkan keseriusan dan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan golongan itu.

Penyelia makanan Wahi Eqram Mat Kasa, 38, berkata usaha kerajaan meneruskan pemberian rebat itu merupakan satu langkah bijak dan menyumbang kepada penjimatan kos perbelanjaan seharian golongan sasaran.

Wahi Eqram berkata meskipun terdapat golongan menganggap jumlah rebat itu kecil, namun ia amat membantu individu dalam golongan B40.

“Perbelanjaan untuk menanggung kos elektrik itu bukan sahaja mampu dijimatkan, malah wang berkenaan boleh diguna untuk urusan penting yang lain,” katanya kepada Bernama.

Pemandu lori Muhammad Jamil Yaacob, 39, pula menjelaskan jika diteliti dengan lebih mendalam pemberian rebat itu, golongan berkenaan dapat menjimatkan perbelanjaan sekitar RM1,200 dalam tempoh setahun.

“Selain dapat menjimatkan duit, rakyat juga dapat menikmati kemudahan elektrik pada kadar yang berpatutan dan tidak membebankan,” kata Muhammad Jamil.

Sementara itu, juruwang Noriah Karim, 45, pula berkata beliau berharap kerajaan memperincikan dengan lebih lanjut khususnya berkaitan tahap penggunaan elektrik yang mampu melayakkan seseorang atau isi rumah itu menerima manfaat daripada rebat berkenaan.

“Saya fikir ia mampu memberi lebih pengetahuan dan membantu orang ramai termasuk golongan sasaran mengetahui jumlah sebenar yang membolehkan mereka layak menerima manfaat daripada rebat itu,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.

Dalam pengumuman sama beliau memaklumkan kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]