Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) mesti menerima peralihan tenaga kerana ia akan membantu mereka menyelesaikan banyak isu, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
"Dengan membentuk semula model perniagaan melalui peralihan tenaga, saya yakin sektor itu akan terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan, seperti yang telah dilakukan selama bertahun-tahun," katanya ketika berucap pada persidangan National OGSE Roadshow 2023 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.
Rafizi berkata kerajaan sudah mendahului usaha itu dengan mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menggariskan 10 projek utama melibatkan pemain industri utama seperti Petronas, Gentari dan Tenaga Nasional Bhd yang akan membuka peluang pelaburan sehingga RM1.85 trilion menjelang 2050.
“Ini adalah antara banyak usaha yang membuka bidang kerjasama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) OGSE, selain memudahkan penyahkarbonan dan meningkatkan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG),” katanya.
Selain itu, menteri berkata menunjukkan pematuhan ESG akan membantu syarikat menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
"Ini perlu menjadi usaha teratas untuk meningkatkan kemahiran kumpulan pekerja kita sekarang,’’ katanya.
Menurut menteri itu, PKS merangkumi 85 peratus daripada syarikat OGSE teras di Malaysia.
"PKS OGSE menghadapi cabaran yang sama dengan PKS lain iaitu kekurangan akses kepada modal, persaingan sengit dengan pemain yang lebih besar, kekurangan bakat dan penggunaan teknologi.
"Ini bersandarkan fakta bahawa banyak syarikat OGSE masih pulih dari kesan jangka panjang kejatuhan harga minyak pada 2014 dan COVID-19,” kata Rafizi.
Dianjurkan oleh Malaysia Petroleum Resources Corporation, persidangan itu mengetengahkan beberapa kemajuan Pelan Tindakan OGSE sejak dilancarkan pada April 2021.
Rangka Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 bertujuan untuk menyediakan hala tuju kepada syarikat-syarikat OGSE untuk meningkatkan daya saing, kecekapan dan keupayaan teknologi mereka, serta menambah baik kekuatan kewangan industri OGSE melalui kepelbagaian ke dalam sektor penting.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]