Berita

Belanjawan: Sesb Perlu Kukuh, Pastikan Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik Lancar - Madius



KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu menjadi sebuah syarikat yang kukuh dan mampu membiayai kos sendiri, bagi memastikan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah, 3 Jan tahun hadapan berjalan lancar.

Mengulas penyerahan itu seperti mana diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 semalam, Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pada masa ini, syarikat itu masih memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Beliau berkata ini antara lain, kerana SESB kini beroperasi dengan kerugian disebabkan pembelian kuasa daripada penjana tenaga bebas (IPP) pada kadar RM0.43 seunit, namun dijual kepada pengguna pada harga RM0.34, mengikut tarif ditetapkan kerajaan Persekutuan.

“SESB tidak mampu biayai kos operasi sendiri disebabkan beberapa perkara, termasuk tarif elektrik tidak mengikut jadual kenaikan, menyebabkan SESB terpaksa menanggung kos lebihan. SESB juga hanya mampu menjana dan memiliki 20 peratus daripada keperluan beban asas tenaga elektrik di Sabah.

“Bakinya dijana IPP sebelum dijual kepada SESB. Syarikat kita perlu miliki keupayaan menjana sendiri 70 peratus daripada keperluan beban asas tenaga elektrik, untuk selesaikan gangguan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Darau di sini hari ini.

Semalam, Anwar berkata meskipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu kerajaan negeri itu dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik, melalui pemberian subsidi kepada SESB, sehingga Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan pada 2030.

Sementara itu, Madius berkata pembinaan PPU Darau itu yang dijadual siap Januari 2025, dijangka dapat menyelesaikan masalah gangguan elektrik di kawasan Inanam, dan sekitarnya.

Beliau berkata PPU yang mula dibina sejak Mei lalu, bagi memantap keupayaan dan keberkesanan pengagihan kuasa serta melindungi sistem kuasa elektrik, selain menampung kapasiti permintaan bekalan elektrik di kawasan Inanam, Kolombong dan sekitarnya.

“Projek ini telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada projek berimpak tinggi, yang dilaksanakan bertujuan mengurangkan kejadian gangguan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Inanam 132/33kV, serta mengukuhkan sistem pembahagian elektrik di kawasan Inanam,” katanya.

Madius berkata projek itu dibiayai sendiri SESB dan berharap supaya semua pihak khususnya kontraktor terlibat, melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Pemantauan secara berkala oleh pihak SESB iaitu Bahagian Projek Utama juga sangat penting, untuk memastikan kemajuan dan kualiti kerja projek ini berada dalam kawalan,” tegasnya.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]