MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri komited untuk menggandakan usaha melestarikan penggunaan tenaga hijau dalam kalangan rakyat Melaka pada masa hadapan, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata perkara itu selaras dengan komitmen kerajaan pusat menerusi peruntukan Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berkaitan perubahan iklim dan teknologi hijau.
“Saya dapat lihat melalui pembentangan bajet semalam dan apa yang berkaitan dengan portfolio saya, ia banyak berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), terutamanya perubahan iklim. Ini sesuatu yang sangat baik dan saya bersyukur kerana tumpuan diberikan kepada tenaga hijau,” katanya.
Rais berkata demikian selepas merasmikan program pembersihan pantai dan kitar semula bersama Petronas dan komuniti setempat di Pantai Puteri di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan Mohd Zaki Mahat.
Beliau berkata pelbagai insiatif yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri dalam melestarikan teknologi hijau itu, termasuk memperuntukkan sejumlah dana yang akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dan peluang tersebut perlu direbut.
“Seperti Net Energy Metering (NEM), projek tersebut akan diteruskan sehingga penghujung tahun 2024. Jadi, saya melalui Perbadanan Teknologi Hijau akan memastikan program NEM ini, dilaksanakan sebaiknya.
“Dalam masa yang sama kita akan menggandakan usaha penglibatan individu yang memiliki rumah sendiri untuk beralih kepada penggunaan solar di kediaman mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Rais berkata satu penubuhan jawatankuasa pembersihan pantai yang dipimpin pihak berkuasa tempatan, akan diusulkan kepada kerajaan negeri sebagai langkah memastikan kebersihan dan keceriaan semua pantai di negeri, sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Bagaimanapun katanya usaha tersebut perlu melibatkan masyarakat setempat dan secara menyeluruh, bagi memastikan keberhasilannya dalam menjadikan semua pantai di Melaka lokasi tumpuan pelancong kerana kebersihannya.
“Kita boleh usulkan penubuhan jawatakuasa tersebut, namun saya ingin penglibatan bukan sahaja daripada ahli majlis tetapi masyarakat setempat itu sendiri. Saya percaya, tanpa penyertaan masyarakat setempat ia (jawatankuasa pembersihan) tak akan bergerak lama,” katanya.
Terdahulu seramai 300 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Petronas, agensi kerajaan dan swasta, pelajar sekolah, pengamal media dan orang awam menjayakan program pembersihan pantai.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]