Berita

Tenaga Boleh Diperbaharui: Huawei Bekal 2.6 Gw Penyongsang Solar Ke Malaysia Sehingga Kini

Huawei Digital Power vice-president Chong Chern Peng (Credit: Huawei Malaysia)

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Huawei telah menghantar sejumlah 2.6 gigawatt (GW) penyongsang solar ke Malaysia setakat ini, yang akan menjana kira-kira 3.9 bilion kilowatt-jam elektrik setiap tahun, bersamaan dengan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 1.81 juta tan karbon dioksida setahun, kata Naib Presiden Huawei Digital Power, Chong Chern Peng. 

Melengkapkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang terkini, syarikat itu bekerjasama dengan rakan kongsi di Malaysia dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, menggunakan teknologi digital bagi meraih kecekapan yang lebih tinggi, katanya.

“Untuk memacu penggunaan tenaga boleh diperbaharui, Huawei terus melabur dalam bidang tenaga  hijau bagi dunia pintar.

“Melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem fotovoltan, kami telah melonjakkan hasil tenaga sebanyak tiga peratus berbanding penyelesaian tradisional, meningkatkan daya maju tenaga suria sebagai sumber kuasa utama,” katanya dalam ucaptama semasa Sidang Kemuncak Tenaga Hijau, yang menjadi sebahagian daripada segmen Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 di sini hari ini. 

Chong berkata memandangkan teknologi awan dan AI telah menjadi industri yang semakin meningkat di Malaysia, semakin banyak pusat data sedang dibina.

Oleh itu, beliau berkata Malaysia perlu memberi tumpuan untuk mengembangkan sambungan mesra alam, pengkomputeran serta kapasiti storan dengan membina pusat data yang boleh dipercayai, bersifat hijau, pintar dan mudah.

Beliau berkata Huawei menyasarkan untuk memacu watt dengan bit ke arah membina grid pintar yang bersambung sepenuhnya dan merapatkan jurang tenaga untuk menjana kuasa dunia digital.

“Semua pihak perlu bekerjasama untuk menjadikan ini satu realiti dalam membina dunia digital yang lestari. Hanya melalui kerjasama sahaja, ini boleh menjadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Hijau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Afzanil Md Anuar berkata Malaysia berada di kedudukan pertama di Asia Tenggara dan ke-35 di dunia dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia.

“Pengiktirafan itu menunjukkan prestasi dan kesediaan sistem negara untuk memenangi sebahagian daripada pelaburan global dalam teknologi dan produk bersih. 

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia berubah menjadi ekonomi yang dipacu oleh teknologi dan diterajui kandungan dalam menarik pelaburan baharu serta berkualiti tinggi,” katanya. 

Segmen Sidang Kemuncak Tenaga Hijau, Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 dianjurkan oleh Huawei Technologies (M) Sdn Bhd untuk berkongsi pandangan termasuk pengalaman supaya komuniti berkepentingan boleh belajar daripada satu sama lain, mencetus idea, mencungkil kemungkinan dan mengatasi cabaran dalam era tenaga digital yang sedang berkembang pesat.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]