KUCHING, 9 Okt (Bernama) -- Diskaun bil elektrik bulanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang diberikan kerajaan Sarawak sejak 1 April 2020 dan sepatutnya tamat 30 Jun lepas akan diteruskan sehingga 31 Dis ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan melanjutkan tempoh pemberian diskaun itu bagi membolehkan pengguna domestik menikmati potongan 25 peratus daripada jumlah bil mereka sementara peniaga dan pengusaha industri kecil masing-masing menerima diskaun 15 dan 10 peratus.
"Bantuan khas diskaun bil elektrik ini akan memberi manfaat kepada 700,000 pengguna di seluruh Sarawak," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemberian diskaun ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri yang dianggarkan berjumlah RM203.7 juta iaitu RM123 juta untuk pengguna domestik dan RM80.7 juta untuk peniaga dan pengusaha industri kecil.
Sebelum itu sebanyak RM1.15 bilion telah dibelanjakan untuk inisiatif ini bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 Jun lepas.
"Pasukan petugas khas Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membuat penyelarasan dan pengiraan bil sewajarnya agar pelanggan dapat menerima diskaun mereka bermula dari Julai tahun ini," katanya.
Julaihi berkata peniaga kecil seperti bengkel, kedai kopi, rumah kedai, restoran dan gerai penjaja pula boleh memohon diskaun bil bulanan mereka dengan mengemukakan permohonan kepada SEB sehingga 31 Dis ini.
Menurutnya, kelayakan diskaun ini adalah bergantung kepada penggunaan elektrik tidak melebihi 3,000 kilowat jam (kWj untuk tempoh daripada 1 Julai hingga 31 Dis 2023 dan terhad kepada pengguna kategori peniaga kecil biasa dan industri biasa.
Beliau berkata pelanggan yang menerima bil elektrik berdasarkan anggaran boleh menghubungi SEB untuk membuat penyelarasan bil dengan mengemukakan gambar bil anggaran dan bacaan meter sebenar.
Permohonan penyelarasan ini boleh dilakukan melalui fungsi 'Make a Report' di aplikasi SEB Cares, Khidmat Pelanggan SEB di talian 1300-88-3111, e-mel kepada customercare@sarawakenergy.com atau berkunjung terus ke Kaunter Khidmat Pelanggan SEB.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]