KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Seminar perintis Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai tenaga solar, yang dianjurkan bersempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023, telah meraih pelaburan berpotensi bernilai RM2.3 bilion.
Menurut agensi pemudahcara pelaburan itu, pencapaian tersebut menyumbang 90 peratus daripada sasaran yang ditetapkan untuk IGEM pada tahun ini.
Seminar yang bertemakan “Elevate Your Green Profile: Smart Investment for Sustainable Business Growth”, dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA), UOB Malaysia dan North Consult Engineering di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam kenyataan hari ini, MIDA berkata komitmen kerjasama yang disaksikan pada seminar itu mengukuhkan peranan penting industri tenaga solar dalam membentuk semula landskap tenaga hijau Malaysia.
“Pelan Hijau Malaysia adalah langkah yang komprehensif di seluruh negara bertujuan untuk memacu agenda pembangunan mampan negara kita.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan landasan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang mampan dan inklusif,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA Lim Bee Vian.
Katanya langkah strategik ini bertujuan untuk mengurangkan risiko ekonomi yang berkaitan dengan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), memastikan pengeksport mengekalkan akses kepada pasaran dan meningkatkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Sementara itu, Presiden MPIA Davis Chong berkata industri tenaga solar berada di barisan hadapan dalam membentuk semula landskap tenaga hijau Malaysia, justeru kerjasama adalah penting.
“Bersama-sama, kita boleh memacu perubahan positif dan mencipta masa depan yang lebih cerah dan bersih,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Komersial UOB Malaysia Beh Wee Khee berkata beliau percaya kecekapan tenaga yang meningkat adalah sesuatu yang dapat dicapai dengan mudah yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan untuk memulakan usaha kemampanan mereka.
“Sama ada mereka pelabur berpengalaman atau syarikat kecil yang ingin memanfaatkan teknologi hijau untuk memulakan perjalanan hijau, kami mempunyai penyelesaian yang sesuai di bawah rangka kerja pembiayaan untuk membantu mereka mencapai matlamat mereka,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]