Deputy Prime Minister and Plantation and Commodities Minister Datuk Seri Fadillah Yusof delivers his speech at the International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2023 (IGEM 2023) at the Kuala Lumpur Convention Centre today.
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang baru dilancarkan bakal meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam peralihan tenaga dan menjadi peneraju serantau dalam industri tenaga boleh baharu (TBB).
HETR dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semasa majlis perasmian Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di sini, hari ini.
Fadillah, yang menyampaikan ucap tama perasmian bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejayaan pelaksanaan HETR akan membolehkan Malaysia meneroka pasaran hidrogen hijau global yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya US$189.19 bilion (RM824 bilion) menjelang 2050.
“Pelaksanaan HETR sahaja dijangka memberi prospek menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion dan RM61 bilion kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2030, yang bakal mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama.
“Dengan pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang diumumkan baru-baru ini dan (kini) HETR, Malaysia bersedia untuk berada di barisan hadapan menjadi peneraju serantau dalam peralihan tenaga dan industri tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata IGEM 2023, yang berlangsung dari 4-6 Okt dan bertemakan “Race Towards Net Zero: Leadership for Climate Action” (Perlumbaan Ke Arah Sifar Bersih: Meneraju Tindakan Iklim) boleh memainkan peranan penting dalam mempercepat serta menyampaikan agenda sifar bersih dan peralihan tenaga di rantau ini.
IGEM 2023, yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersama-sama dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) merupakan acara perdagangan utama Asia Tenggara bagi penyelesaian teknologi hijau dan eko.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebagai acara perdagangan utama di Asia Tenggara bagi penyelesaian teknologi hijau dan eko, IGEM mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan kerana setakat ini telah mencatatkan jualan perniagaan lebih RM30 bilion dan dikunjungi kira-kira 530,000 pelawat dari lebih 112 negara sejak 2010.
IGEM 2022 merekodkan jualan perniagaan bernilai kira-kira RM4.25 bilion dengan 33,000 pelawat dan 370 reruai pameran.
“Tahun ini, kita yakin kita boleh mengatasi pencapaian tahun lepas sebanyak RM4.25 bilion jualan perniagaan dan juga menjangkakan 40,000 pelawat dari 40 negara.
“Semalam, saya secara peribadi bertemu dengan beberapa perwakilan, melawat reruai pameran dan mengambil bahagian dalam beberapa sesi persidangan.
“Jelas kepada saya bahawa peranan IGEM sebagai salah satu acara perdagangan utama Asean bagi produk teknologi hijau dan eko kekal relevan hari ini seperti ketika kali pertama ia diadakan pada 2010,” katanya.
Nik Nazmi berkata, matlamat peralihan tenaga kerajaan di bawah NETR adalah sejajar dengan usaha kementeriannya untuk menyahkarbonkan sektor kuasa melalui penggunaan kapasiti TBB yang dipercepat dalam kapasiti kuasa daripada 25 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]