Berita

Malakoff Labur Rm2.5 Bilion Bangunkan Projek Solar 500mw Dalam Masa Lima Tahun

Malakoff managing director/chief executive officer Anwar Syahrin Abdul Ajib

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd menyasarkan untuk melabur kira-kira RM2.5 bilion bagi membangunkan projek solar 500 megawatt (MW) bagi Kumpulan Syarikat Albukhary dalam masa lima tahun.

Kumpulan dengan pelbagai cabang perniagaan itu meliputi antaranya Kumpulan MMC, DRB-Hicom Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd.

Sejajar dengan usaha itu, Malakoff dan MMC Ports telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meninjau perniagaan dalam pelbagai inisiatif tenaga hijau yang membabitkan pelaburan bernilai RM350 juta.

Ini termasuk namun tidak terhad kepada mana-mana program tenaga solar di bawah inisiatif kerajaan seperti Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), Kegunaan Sendiri (SelCo), kaedah ‘cold-ironing’ iaitu penjanaan elektrik dari sumber pantai ke kapal, pemasangan stesen pengecasan kenderaan elektrik dan lain-lain.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata syarikat itu dan MMC Ports iaitu Northport (Malaysia) Bhd, Johor Port Bhd, Tanjung Pelepas Sdn Bhd dan Penang Port Sdn Bhd, kini memulakan langkah bagi perkongsian transformatif dalam CGPP.

Malah, katanya, Malakoff akan menggalas peranan sebagai pengeluar tenaga solar manakala MMC Ports sebagai sebagai pengguna korporat.

"Kerjasama strategik ini membuka jalan bagi MMC Ports untuk memanfaatkan tenaga boleh baharu (TBB) melalui tenaga solar," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU Malakoff-MMC.

Dalam memastikan dunia lebih bersih dan hijau, MoU itu juga menjadi sebahagian daripada komitmen Malakoff ke arah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketujuh - Tenaga Mampu Milik dan Bersih yang menumpukan usaha memastikan akses tenaga yang berpatutan, berwibawa serta mampan untuk semua.

Mengulas selanjutnya, Anwar Syahrin berkata di bawah program solar bumbung SelCo, Malakoff bertindak sebagai pemaju bagi pengguna akhir MMC Ports manakala Malakoff akan menguruskan aspek pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem fotovoltan (PV) solar.

Jelas beliau, selaras dengan matlamat untuk mencapai 70 peratus campuran TBB menjelang 2050, Malakoff dan MMC Ports sedang giat meneroka peluang bagi kerjasama dalam program solar berskala besar (LSS). 

“Mereka turut mempertimbang pelaksanaan penyelesaian ‘cold ironing’ tersebut yang mana enjin kapal yang berlabuh itu dimatikan, sekali gus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran udara,” katanya.

Anwar Syahrin juga menyifatkan kerjasama strategik itu memaparkan cita-cita serta komitmen syarikat berkenaan bagi menangani isu alam sekitar global dengan memperluas portfolio TBB sedia ada selain meninjau pelbagai bidang inisiatif hijau berbeza menerusi usaha penyelesaian komprehensif dan inovatif.

Setakat ini, pencapaian Malakoff melangkaui 67MW kapasiti pemasangan solar menerusi LSS dan solar bumbung dan 84MW kapasiti tenaga hidro yang dalam proses untuk disiapkan.

Kewujudan tanah-tanah simpanan yang tersedia di Perak dan Melaka serta terletak berhampiran dengan garisan grid tenaga, juga menjadi bukti keupayaan syarikat berkenaan dan seterusnya membolehkan pihak yang berminat, terutama dalam Kumpulan Albukhary, untuk membangunkan projek-projek solar.

Selain itu, Anwar Syahrin berkata syarikat terbabit juga meninjau eksport tenaga ke negara-negara jiran seperti Singapura.

“Seiring dengan usaha Malakoff untuk muncul sebagai peneraju penjanaan tenaga global dan penggiat penyelesaian alam sekitar, kami telah menggariskan sasaran besar yang memaparkan dedikasi kami terhadap kelestarian,” katanya.

Syarikat tersebut menyasarkan untuk mencapai kapasiti TBB sebanyak 1,400MW menjelang 2031 dan mencapai kadar kitaran semula 15-20 peratus menjelang 2025 daripada kutipan sisa oleh syarikat milik penuhnya, Alam Flora Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]