Berita

Sabah Perlu Bangunkan Sumber Tenaga Tambahan Untuk Tampung Permintaan Tinggi Industri

Liew Chin Tong (File pix)

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Sabah perlu membangunkan sumber tenaga tambahan bagi menampung permintaan industri yang memerlukan bekalan tenaga elektrik tinggi untuk beroperasi, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata, buat masa ini kira-kira 89 peratus penjanaan tenaga di Sabah adalah berasaskan gas asli dan rizab tenaga di negeri itu kini agak membimbangkan dengan hanya sekitar 11 peratus berada di bawah paras ideal rizab, iaitu 30 peratus.

Menurutnya, cabaran kekurangan tenaga di Sabah bagi menampung permintaan industri itu sebenarnya merupakan satu peluang untuk memperkasakan dan memperluaskan peluang pelaburan sektor tenaga di negeri tersebut.

“Memandangkan pada ketika ini, loji jana kuasa berasaskan bahan api arang batu tidak termasuk dalam pilihan tenaga di Sabah, maka sumber tenaga baharu atau teknologi baharu termasuk tenaga hijau perlu diteroka dan diangkat sebagai pilihan utama untuk penyelesaian jangka masa panjang.

“Antara sumber tenaga boleh baharu yang sedang dalam penelitian adalah hidroelektrik, angin, solar dan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC),” katanya. 

Liew berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada sidang khas Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perancangan semasa yang digariskan dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 September, menjelang 2030, penjanaan tenaga boleh baharu dalam Grid Sabah dijangka meningkat sekitar 1,000 megawatt (MW) atau 50 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan.

“Ini adalah pencapaian yang baik berbanding dengan kebergantungan lebih 90 peratus kepada sumber tenaga fosil ketika ini,” tambahnya. 

Sementara itu, Liew berkata, Sabah berpotensi tinggi untuk membangunkan industri hiliran kelapa sawit, biojisim dan biogas memandangkan negeri tersebut adalah wilayah terbesar yang mengeluarkan minyak sawit di Malaysia.

“Sabah mempunyai kelebihan dari segi tenaga kerja, lokasi dan kadar kos kilang yang strategik.

“Dengan tambahan jana kuasa yang baharu, Sabah boleh menjadi destinasi pelaburan yang baharu di negara ini dan ini akan mengubah landskap ekonomi dan seterusnya memakmurkan rakyat negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa berusaha untuk menarik pelaburan ke dalam negara termasuk ke Sabah berdasarkan kekuatan dan kesesuaian ekosistem setempat.

MITI dan MIDA bersama kerajaan negeri Sabah kini sedang bekerjasama merangka strategi melonjakkan ekonomi negeri dengan memberi fokus kepada empat strategi utama, iaitu pembangunan infrastruktur moden, keperluan tenaga sebagai peneraju pelaburan tenaga bersih, pelaburan dalam industri hijau dan strategi hiliran industri tempatan, katanya.

— BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]