Berita

Bdb Energy, Psp Meterai Mou Teroka Industri Tenaga Solar



ALOR SETAR, 25 Sept (Bernama) -- Syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE), BDB Energy Sdn Bhd (BDB Energy) hari ini mengumumkan kerjasama dengan Pumar Solar Power Sdn Bhd (PSP) selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka industri tenaga solar di Malaysia.

Pada majlis penandatanganan itu, BDB Energy diwakili Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB Raja Shahreen Raja Othman manakala PSP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Nor Azam Kamisan dengan disaksikan Pengerusi BDB Che Had Dhali.

Raja Shahreen dalam kenyataan berkata kerjasama itu merupakan langkah strategik bagi BDB Energy yang baru ditubuhkan pada Julai lepas dan dimiliki sepenuhnya oleh Bina Darulaman Berhad (BDB) itu dalam merealisasikan komitmen syarikat untuk mempromosikan sumber RE serta mengurangkan jejak karbon.

“Ini selari dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Kerajaan Persekutuan yang menetapkan sasaran RE sebanyak 40 peratus menjelang 2035 dan seterusnya 70 peratus menjelang 2050.

“MoU berkenaan turut menetapkan terma kerjasama mengeksplorasi peluang tenaga solar dengan memberikan tumpuan khusus di Kedah dan negeri berpontesi lain di Malaysia dan ia cukup bermakna bagi BDB Energy,” katanya.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran berkenaan, ia memerlukan sokongan dan kerjasama kolektif di setiap negeri dan BDB menerusi BDB Energy akan turut memainkan peranan bagi membolehkan sektor berkenaan berkembang di Kedah bagi memastikan kemajuan negara ke arah masa depan yang mampan.

“MoU ini menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memanfaatkan tenaga solar dan sumber RE yang memberikan impak positif kepada alam sekitar serta mempromosikan amalan perniagaan mampan.

“Ia juga sejajar dengan Teras Keenam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang memfokuskan pada ‘Kemampanan Alam Sekitar’,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Shahreen berkata BDB Energy memiliki beberapa bidang kepakaran utama iaitu penjanaan dan penghantaran kuasa elektrik, pengeluaran tenaga boleh diperbaharui, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

“MoU ini menandakan pendekatan strategik BDB Energy untuk menggunakan kepakaran teknikal PSP dan kehadiran pasaran untuk mempercepat pertumbuhan dalam sektor RE. Ia juga dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]