Berita

Persidangan Peralihan Tenaga Tnb Hasilkan Penyelesaian Strategik Kepada Peralihan Tenaga

Kredit : Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Persidangan Peralihan Tenaga 2023 selama dua hari anjuran Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang berakhir pada 29 Ogos, menyaksikan ia berjaya menjana perbincangan dan pengetahuan yang bermakna untuk menghasilkan penyelesaian yang komprehensif dan strategik kepada beberapa isu rumit berkaitan peralihan tenaga global.

TNB telah menggariskan perbincangan panel yang melibatkan empat tonggak iaitu Masa Depan Tenaga, Mobiliti Hijau, Bandar Lestari dan Pendigitalan, menampilkan pakar terkemuka dalam pelbagai bidang berkaitan industri tenaga dan kemampanan untuk berkongsi pandangan serta perspektif yang berkaitan dengan isu tersebut.

Antara pakar yang dijemput termasuk Ketua Pegawai Ekonomi dan Pengarah Urusan Kanan Institut Ekonomi Tenaga Jepun Dr Ken Koyama, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razib Dawood dan Pengarah Utama Hijjas Kasturi Associates Sdn Bhd, Serina Hijjas.

Sempena persidangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional 2030 (NETR), dengan peruntukan dana asas sebanyak RM2 bilion untuk fasiliti peralihan tenaga.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli turut hadir pada majlis pelancaran itu.


Kredit : Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Menurut Anwar, peralihan tenaga bukan satu pilihan, dan kerajaan mengalu-alukan sektor swasta untuk menjadi rakan kongsi dengan mengambil bahagian serta melabur dalam peralihan itu.

Beliau menambah NETR akan memacu penciptaan peluang pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan penyertaan pelaburan domestik dan asing sambil memastikan kesinambungan bekalan tenaga hijau Malaysia.

“Ini akhirnya akan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih,” katanya.

Selepas Covid-19, perbincangan berkisar perubahan iklim dan tindakan iklim telah dipergiatkan dari segi keperincian dan kesegeraan kepada peralihan tenaga yang lebih hijau apabila dunia mengalami sendiri kesan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap dan meluas.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) melaporkan bahawa pelaburan dalam tenaga bersih dijangka mencecah US$1.7 trilion (RM7.97 trilion) pada 2023, dan terdapat juga keinginan yang lebih kuat untuk kerjasama antarabangsa yang akan menyediakan tindakan tambahan untuk penyahkarbonan.

Pengerusi TNB Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata perbincangan pada persidangan itu dikategorikan kepada tiga sektor ekonomi iaitu Tenaga, Pengangkutan dan Bandar.

Ini mencerminkan pendekatan yang diambil oleh syarikat utiliti itu dalam merangka strategi untuk penjanaan kuasa yang lebih bersih, grid masa depan dan rangkaian bekalan, bandar mampan serta memperkasakan elektrifikasi sektor pengangkutan.

“Dengan lebih 70 tahun pengalaman dalam industri tenaga, dedikasi kami kepada kedua-dua negara dan masa depan industri kekal tidak berbelah bahagi.

 “TNB memahami peranan dan tanggungjawabnya dalam rantaian nilai elektrik dan kami berazam untuk lebih agresif dalam program peralihan tenaga secara bertanggungjawab,” katanya.

 

Aspirasi sifar bersih dan penyahkarbonan 

 

Pada 2021, TNB mewujudkan komitmen Sifar Bersih, dan sejak daripada itu, syarikat melakukan usaha giat dalam melaksanakan hala tuju Peralihan Tenaga 2050.

Komitmen ini bertujuan mempercepat penyahkarbonan penjanaan, membangunkan grid yang fleksibel dan merentas sempadan serta memperkukuh elektrifikasi dan penyertaan pengguna di segenap sektor.

Abdul Razak berkata TNB telah menetapkan rancangan untuk menyokong aspirasi sifar bersih negara menerusi strategi meliputi tiga bidang tumpuan strategik antaranya perancangan bersepadu kepada penyahkarbonan penjanaan, membolehkan tenaga boleh baharu fleksibel dan pertukaran grid rentas sempadan.


Kredit : Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Dalam persidangan itu, TNB turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai usaha kerjasama yang berterusan antara kedua-dua pihak ke arah penyahkarbonan.

MoU berkenaan bertujuan meninjau teknologi pemerangkapan dan penyimpanan bagi loji janakuasa gas berikutan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon dikenal pasti sebagai penggalak peralihan tenaga keenam dalam NETR.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan TNB Datuk Baharin Din berkata TNB bercadang melabur sehingga RM90 bilion untuk gridnya dalam tempoh enam tahun akan datang, dengan 40 peratus daripadanya akan diperuntukkan kepada perbelanjaan modal berkaitan peralihan tenaga untuk memastikan grid TNB adalah fleksibel untuk disesuaikan dengan landskap tenaga yang berkembang.

Beliau berkata TNB dan rakan setaranya di Asean telah bersetuju bahawa inilah masanya untuk menjadikan Grid Kuasa Asean sebagai satu realiti berikutan ia kini menjadi aspek untuk meneruskan kelangsungan.

“Sebagai syarikat utiliti negara, apa yang penting bagi kami adalah mengimbangkan trilema tenaga di samping membolehkan pertumbuhan ekonomi negara. Saya juga percaya bahawa rancangan kami tercapai berikutan bidang tumpuan kami menyokong sepenuhnya aspirasi dalam NETR,” katanya.

Persidangan dua hari pada 28 hingga 29 Ogos lepas menerima sambutan positif dengan menarik penyertaan lebih 2,000 peserta dan 68 penceramah dari seluruh dunia serta sokongan daripada 33 rakan organisasi.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]