Berita

Harga Tenaga: Mengapa Bil Elektrik Melonjak Naik?



Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Sejak bermulanya pandemik COVID-19, industri tenaga di seluruh dunia berdepan dengan cabaran satu demi satu gangguan dan juga krisis. 

Krisis yang berlaku ketika ini mempunyai kesan yang sama seperti yang disaksikan dunia pada era 1970-an berikutan sekatan minyak Arab, yang menyebabkan kekurangan besar-besaran di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan Kanada.

Langkah-langkah sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan pada awal 2020 untuk membendung risiko penularan COVID-19 telah membawa kepada penurunan permintaan tenaga yang seterusnya menyebabkan kejatuhan mendadak harga arang batu dan minyak.

Beberapa gangguan besar muncul dan terus menjejaskan pasaran, termasuk kekurangan tenaga besar-besaran di China pada September 2021 disebabkan penjanaan arang batu yang tidak mencukupi untuk membekalkan kepada 1.4 bilion penduduknya.

Keadaan ini masih berlaku walaupun terdapat banyak usaha untuk menstabilkan operasi, kecairan, rantaian bekalan dan pasaran untuk meletakkan industri di landasan pemulihan.

Malaysia turut terkena tempias daripada krisis tenaga yang masih berterusan, diburukkan lagi oleh konflik Ukraine-Rusia yang melonjakkan harga arang batu ke paras tertinggi di tengah-tengah keadaan permintaan-penawaran yang tidak menentu. 

Tenaga Nasional Bhd (TNB), seperti kebanyakan syarikat utiliti kuasa di seluruh dunia, berdepan kesukaran untuk mengekalkan kadar pada paras semasa, terutamanya dengan bebanan peningkatan harga arang batu.

Harga arang batu, yang mencakupi hampir separuh daripada keperluan penjanaan kuasa negara, telah meningkat empat kali ganda sejak perang Ukraine-Rusia meletus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata krisis tenaga yang berlaku ketika ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat ini kerana perubahan iklim adalah fenomena yang berterusan.

“Secara keseluruhannya, saya berpandangan kurangnya pelaburan dalam sektor tenaga adalah punca utama yang menyebabkan krisis ini berlaku.  Walaupun ‘krisis’ ini bukanlah sesuatu yang baharu, ketidakupayaan ekonomi untuk mempelbagaikan campuran tenaga mereka perlu dilihat dengan lebih teliti,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Firdaos berkata konflik ketenteraan Rusia-Ukraine yang berterusan dan keadaan cuaca yang melampau di China telah memburukkan lagi isu itu sehingga kini.

Kesan daripada krisis tenaga telah melanda negara Asia Tenggara di tengah-tengah pertumbuhan penduduknya dan perubahan iklim manakala kerumitan ekonomi Asean meningkat dari semasa ke semasa, katanya.

Menurutnya, Malaysia berada di kedudukan yang menarik kerana negara merupakan pengeksport tenaga bersih. 

“Bagaimanapun, tumpuan harus diberikan kepada situasi pergantungan besar Malaysia terhadap penggunaan minyak dan gas, menekankan kepada keperluan untuk pelaburan yang lebih tinggi dalam tenaga boleh baharu untuk mempelbagaikan campuran tenaganya,” katanya.

 

Kos penjanaan kuasa yang tinggi 

 

Di Semenanjung Malaysia, lebih 90 peratus daripada tenaga elektrik yang dijana menggunakan arang batu dan gas yang mana kos arang batu telah meningkat dengan ketara sejak Oktober 2021.

Harga arang batu meningkat di seluruh dunia dan berada di luar kawalan kerajaan. Sektor penjanaan mengalami tekanan akibat kos bahan api yang semakin meningkat bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di peringkat global

Terdapat sedikit penurunan dalam harga purata bahan api daripada US$224 (US$1=RM4.64) setiap tan metrik pada separuh kedua 2022 kepada US$73.50 setiap tan metrik pada tempoh Januari-Jun 2023. 

Bagaimanapun, harga purata arang batu kekal tinggi, melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh kawal selia ketiga (2022-2024), iaitu US$79 setiap tan metrik.

Disebabkan ini, kos bahan api untuk menjana elektrik melonjak tinggi yang menyebabkan kos penjanaan meningkat seterusnya mengakibatkan kadar surcaj mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi peratusan kecil pengguna domestik meningkat untuk tempoh 1 Julai-31 Dis 2023.

Meskipun lonjakan kos bahan api bagi penjanaan kuasa, mekanisme ICPT terus dilaksanakan pada Separuh Kedua 2023 untuk membolehkan TNB terus menyediakan bekalan elektrik terjamin kepada rakyat Malaysia.

ICPT ialah mekanisme di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif yang membolehkan pelarasan tarif elektrik dibuat untuk mencerminkan perubahan dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain.

Ini kerana kos ini ditetapkan berdasarkan harga yang ditanda aras dalam tarif asas.

Pelaksanaan ICPT, yang berlaku setiap enam bulan, akan mencerminkan kos sebenar dalam tarif dalam bentuk sama ada rebat atau surcaj.

Sejak 2015, kerajaan telah berjaya melaksanakan 18 kitaran di bawah mekanisme ICPT untuk membantu mengurangkan kesan harga bahan api global yang tinggi.

Ini termasuk peruntukan perlindungan sepanjang kitaran ICPT sehingga RM25.3 bilion, termasuk subsidi terkini sebanyak RM5.2 bilion untuk pelaksanaan ICPT bagi tempoh 1 Julai-31 Dis 2023.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmad Razman Abdul Latiff berkata rakyat Malaysia mungkin perlu membayar lebih bagi bahan api dan elektrik pada tahun-tahun akan datang melainkan kerajaan meneruskan subsidi untuk semua.

“Namun, memandangkan kos bahan api (arang batu dan gas) dijangka terus meningkat tahun depan, kerajaan mungkin terpaksa menyediakan peruntukan yang lebih tinggi untuk mengekalkan subsidi,” kata Ahmed Razman kepada Bernama.

Beliau berkata Malaysia juga akan terjejas akibat krisis tenaga memandangkan negara masih banyak bergantung kepada gas dan arang batu.

Bagi Separuh Kedua 2023, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan sebanyak 1,500 per kilowatt-jam (kWj) atau ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik, justeru akan terus  menikmati rebat elektrik sebanyak 2.0 sen per kWj sehingga penghujung Disember, kerana kerajaan telah bersetuju untuk membayar bil subsidi yang lebih besar bagi tempoh tersebut.

Sementara itu, pengguna domestik yang menggunakan tenaga elektrik melebihi 1,500 kWj (yang hanya terdiri satu peratus daripada jumlah pengguna domestik) akan dikenakan surcaj ICPT sebanyak 10 sen setiap kWj dan bakal mengalami peningkatan bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus) dalam bil elektrik.

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim , walaupun terdapat peningkatan dalam kategori pelanggan domestik ini, kerajaan masih memberikan subsidi khas sebanyak RM58 juta untuk mereka memandangkan surcaj ICPT tidak diluluskan sepenuhnya.

Pelanggan boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan mereka masing-masing.

“Kerajaan berharap pemberian subsidi ini akan membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya semasa tempoh pemulihan ekonomi, sambil memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” kata kementerian itu.

Kos bahan api yang lebih tinggi juga menyebabkan kerajaan dan pengawal selia negara lain turut menyemak semula kadar elektrik mereka untuk menampung kenaikan itu.

Dilaporkan bahawa pengguna di Singapura membayar lebih untuk elektrik pada suku Julai-September 2023, dengan tarif meningkat secara purata 1.2 peratus daripada suku sebelumnya.

Eropah, pusat krisis tenaga, berdepan kenaikan tarif kuasa disebabkan oleh harga gas yang melambung tinggi berikutan konflik yang berterusan di Ukraine serta sekatan Eropah ke atas Rusia, yang telah meningkatkan kebimbangan terhadap jaminan bekalan gas.

-- BERNAMA


 

 


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]