KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia melakar kecemerlangan dalam bidang tenaga apabila 12 projek tenaga lestari tempatan memenangi Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2023 di Bali, Indonesia.
Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan hari ini, anugerah yang dianjurkan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-41 (AMEM) pada 22 hingga 25 Ogos adalah bagi menggalak dan mengiktiraf penerapan amalan tenaga lestari oleh sektor awam dan swasta dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Malaysia telah mengemukakan 23 penyertaan pada AEA 2023, terdiri daripada projek yang memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) melibatkan tiga kategori iaitu Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga, Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu serta Anugerah Teknologi Arang Batu Bersih.
Antara pemenang tempat pertama dalam kalangan projek tenaga lestari Malaysia itu ialah Sekolah Antarabangsa Tzu Chi bagi Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga - Bangunan Hijau (Kategori Besar) dan Bangunan Lembaga Pelabuhan Johor bagi Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri (Kategori Bangunan Kecil dan Sederhana).
Turut memenangi tempat pertama ialah Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz, Jimah East bagi Anugerah Teknologi Arang Batu Bersih - Penggunaan Teknologi Arang Batu Bersih (Kategori Industri Besar).
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengetuai delegasi Malaysia ke AMEM ke-41 berharap kemenangan yang dicapai peserta Malaysia dalam AEA akan menjadi perangsang kepada pemain industri lain untuk meneruskan usaha penerapan amalan tenaga lestari bagi menyumbang kepada komitmen pengurangan jejak karbon negara.
“Ketika rantau ASEAN sedang menggiatkan usaha ke arah matlamat rendah karbon, kami menyeru supaya lebih banyak industri, syarikat korporat dan individu untuk menerajui usaha berkaitan iklim bagi menggalakkan penerimaan amalan tenaga lestari.
“Di peringkat nasional, NRECC akan meneruskan usaha untuk menggalakkan penerapan amalan terbaik tenaga lestari, termasuk penganjuran NEA bagi memberikan pengiktirafan serta mengenal pasti projek amalan terbaik tenaga lestari,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]