Berita

Tnb Cadang Tingkatkan Pelaburan Peralihan Tenaga Hampir Enam Kali Ganda



Daripada Nurul Jannah Kamaruddin

BALI, 24 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) bercadang meningkatkan pelaburannya sebanyak hampir enam kali ganda antara 2025 hingga 2030 sebagai persediaan kepada peralihan tenaga (ET) pada masa depan.

Peruntukan TNB bagi ET untuk tempoh 2018 hingga 2024 berjumlah RM6 bilion berbanding RM45 bilion yang diperuntukkan bagi grid domestik.

Kini, kumpulan itu berhasrat membuat pelaburan kira-kira RM90 bilion dalam masa lima tahun dari 2025 hingga 2030 untuk grid nasional dengan RM35 bilion akan diperuntukkan kepada pelaburan berkaitan ET, manakala baki RM54 bilion untuk pelaburan bukan ET.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Baharin Din berkata TNB berhasrat untuk mempercepat pelaburannya dalam grid bagi mengelakkan kesesakan yang sedang berlaku dalam pasaran matang, yang boleh melewatkan peningkatan itu berikutan baris gilir sambungan projek angin dan solar berkembang untuk merekodkan saiz.

“Kesesakan ini boleh dilihat di seluruh United Kingdom dan Eropah, malah di Amerika Syarikat berikutan baris gilir sambungan grid bagi projek angin dan solar adalah antara 50 dan 200 gigawatt.

“Sehubungan itu, di Malaysia, kita ingin memastikan bahawa kita membina infrastruktur hijau lebih awal supaya dapat mengelakkan kesesakan dalam penggunaan TBB,” katanya dalam sesi bertajuk ‘Saling Hubungan Grid Kuasa Asean (APG): Meningkatkan Usaha Asean Bagi Memajukan Keterhubungan Serantau Dengan Merealisasikan Potensi Pelaburan’ pada Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF) di sini hari ini.

Baharin turut memberi penekanan kepada kepentingan kesalinghubungan serantau berikutan tiada negara mampu mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih secara bersendirian.

Menurutnya berikutan peralihan Asean kepada sifar bersih, permintaan terhadap elektrik dijangka menyaksikan pertumbuhan hampir tiga kali ganda di Malaysia dan lima kali ganda di rantau ini menjelang 2050, dan permintaan ini diramalkan melibatkan tenaga bersih.

Berikutan terdapat keperluan segera untuk bekerjasama bagi mengoptimumkan sumber di Asean di samping mengimbangi trilema ini, TNB melaksanakan pelbagai usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara jiran sekali gus berharap mampu mempercepat usaha menerusi APG, kata Baharin.

“Kesalinghubungan dalam kalangan negara anggota Asean membuka laluan kepada pelaburan baharu dengan unjuran saiz pasaran melebihi US$6.3 trilion (US$1=RM4.64) daripada 2018 hingga 2050.

“Pada 2021, negara anggota Asean telah mengumumkan sasaran pelepasan sifar karbon bersih bagi negara masing-masing,” katanya.

TNB akan memeterai Memorandum Persefahaman esok (25 Ogos) dengan syarikat elektrik Indonesia PT PLN (Persero), SP Group Singapura dan Pusat Tenaga Asean (ACE) bagi meninjau kesalinghubungan rentas sempadan antara negara.

TNB juga sedang menjalinkan kerjasama dengan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT), Electricite du Laos (EDL) dan Vietnam Electricity (EVN) untuk mempercepat pembangunan infrastruktur kesalinghubungan di samping meninjau peluang pelaburan baharu TBB.

AEBF, persidangan dan pameran rasmi Asean berkenaan tenaga yang menghimpunkan penggubal dasar serantau dan antarabangsa peringkat tinggi serta penggiat perniagaan utama, dianjurkan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean (AMEM) yang diadakan secara tahunan.

-- BERNAMA 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]