Credit: NRECC
Daripada Nurul Jannah Kamaruddin
BALI, 24 Ogos (Bernama) -- Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina akan membentuk satu kumpulan fokus subrantau untuk meningkatkan kesalinghubungan sedia ada bagi kemampanan tenaga hijau.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Dadan Kusdiana berkata negara-negara ini akan memulakan kerjasama tenaga boleh diperbaharui (RE) yang akan dilaksanakan dengan segera.
Beliau berkata antara yang dicadangkan ialah kerjasama mengenai bahan api bio (biofuel) berasaskan tumbuhan di tengah-tengah sumber biojisim ASEAN yang banyak.
“Kami akan lakukan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan segera dalam konteks untuk meningkatkan perkongsian dari segi sumber. Indonesia dan Malaysia sudah pun ada kesalinghubungan.
“Malaysia kemudiannya akan bersalinghubung dengan Brunei. Kami masih lihat untuk Filipina. Bagi Filipina Selatan, kesalinghubungannya adalah melalui Sulawesi Utara. Ini memanfaatkan Kalimantan Utara dan juga baik untuk wilayah Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian bersama Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke-41 (AMEM-41) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2023.
Menurutnya wilayah Kalimantan mempunyai loji kuasa hidro yang luas daripada syarikat-syarikat Indonesia dan Malaysia, manakala Filipina adalah antara pengeluar kuasa geoterma terkemuka dunia.
Pada masa ini, rantau ini bersaling hubung melalui projek Grid Kuasa ASEAN (APG) dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN (TAGP).
Dadan berkata rantau ini perlu membangunkan kuasa RE yang mencukupi untuk mencapai kemajuan kukuh dalam kalangan negara anggota dengan memenuhi komitmen mereka untuk menyampai dan menangani keadaan terkini seperti perubahan iklim, kekurangan sumber dan teknologi.
Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Arifin Tasrif dalam ucapan perasmiannya menegaskan untuk mencapai pertumbuhan mampan di ASEAN, rantau ini perlu mengukuhkan kesalinghubungan melalui APG, TAGP dan komitmen antara pihak yang lain.
Justeru, beliau berkata AMEM-41 dan AEBF 2023 menandakan komitmen kuat rantau ini untuk memajukan penjanaan tenaga mereka, terutamanya dalam bidang RE.
Bank Pembangunan Asia menganggarkan permintaan tenaga berkembang secara purata dua peratus setiap tahun.
"Dalam senario yang paling bercita-cita tinggi pada masa hadapan, dua pertiga daripada permintaan tenaga yang semakin meningkat itu boleh dipenuhi oleh RE," kata Arifin.
ASEAN, katanya juga terus menekankan peranannya sebagai pusat pertumbuhan dengan unjuran pertumbuhan 4.6 peratus pada 2023.
AEBF ialah persidangan dan pameran rasmi ASEAN mengenai tenaga yang menghimpunkan penggubal dasar serantau dan antarabangsa peringkat tinggi serta pemain perniagaan utama dan ia dianjurkan sempena AMEM tahunan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]