Berita

Kerjasama Asia Tenggara-asia Timur Penting Bagi Peralihan Tenaga - Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Rantau Asia Tenggara dan Asia Timur penting untuk agenda peralihan tenaga memandangkan cabaran alam sekitar dan tenaga tidak mengenal sempadan negara, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata pandemik COVID-19, perang di Ukraine dan gangguan yang ditimbulkannya menjadi bukti cukup mengenai betapa sensitifnya rantaian bekalan Asia Tenggara, jika tidak rentan.

Kerjasama lebih erat antara dua wilayah itu, yang berkongsi banyak hubungan sejarah dan ekonomi,  adalah penting dan secara kolektif memacu pertumbuhan ekonomi global semasa di samping perlu berada di barisan hadapan untuk tindakan iklim, katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Tenaga Asia Timur kali keenam di Bali, Indonesia pada Isnin.

Beliau berkata terdapat tuntutan bukan sahaja untuk dasar pembangunan serantau atau pelan hala tuju berkaitan tenaga boleh baharu malah juga keperluan untuk bekerja ke arah dasar dan piawaian kawal selia yang sama.

“Kita memerlukan dasar dan strategi pelaburan yang menarik untuk menggalakkan serta memudahkan penerimaannya dalam sektor seperti pembuatan dan pengangkutan serta mengurangkan kos.

“Kita juga perlu membangunkan teknologi dan penyelesaian dari rantau kita, untuk rantau kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata negara di Asia Tenggara dan Asia Timur mesti menyokong antara satu sama lain dan bekerjasama dalam tindakan iklim dan peralihan tenaga.

“Ini penting untuk respons Asia secara keseluruhannya. Ini bukan sahaja terpakai kepada kerajaan malah juga di peringkat masyarakat sivil dan perniagaan,” katanya.

Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) telah mengingatkan bahawa pelaburan tahunan dalam teknologi peralihan tenaga perlu melebihi empat kali kepada lebih US$5 trilion dan pelaburan terkumpul mesti berjumlah US$44 trilion pada 2030.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) turut berhujah, ketika negara membangun di Asia, Amerika Latin, Afrika dan Timur Tengah komited terhadap peralihan tenaga dan mempunyai sumber tenaga boleh baharu yang begitu banyak namun, negara-negara ini kekurangan kewangan dan pengetahuan teknikal untuk membangunkan tenaga itu sepenuhnya.

Nik Nazmi berkata perubahan iklim adalah krisis yang tidak boleh diselesaikan tanpa peralihan tenaga.

“Sejarah menunjukkan negara-negara mampu pulih dengan lebih baik dan cepat apabila wujud kerjasama antarabangsa, seperti melalui Rancangan Marshall dalam kes Perang Dunia II.

“Ini sesuatu yang mesti kita contohi dalam menghadapi perubahan iklim. Negara-negara kaya mesti bersedia menyokong tindakan iklim dan peralihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata Asia Tenggara dan Asia Timur mesti berada di barisan hadapan dalam tindakan iklim.

“Jadi, walaupun tindakan iklim dan peralihan tenaga tidak boleh menjadi perkara penting bagi negara-negara kaya yang menentukan cara negara-negara kurang berkemampuan mencapainya, ini tidak bermakna negara-negara kaya mengharapkan negara-negara ini menanggung kos itu sendiri.

“Malaysia berharap dapat meneruskannya dalam COP 28 dan forum antarabangsa lain,” katanya.

Asia Tenggara kini mempunyai jumlah penduduk hampir 670 juta dan angka ini akan terus berkembang.

“Kita akan mengakibatkan ramai orang menderita dan menjadi lebih teruk jika kita tidak melaksanakan peralihan tenaga dengan betul.

“Dikatakan bahawa tidak akan ada Abad Asia tanpa Asia Tenggara. Jadi, saya dengan rendah hati menyatakan bahawa tidak akan ada Abad Asia tanpa Asia Tenggara dan Asia Timur bekerjasama dalam peralihan tenaga yang saksama dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]