Berita

Tenaga Solar Beri Sinar Harapan Kepada Penduduk Pulau Banggi



Oleh Emin Madi

KUDAT, 23 Ogos (Bernama) -- Kehidupan kira-kira 700 penduduk daripada komuniti Bajau Ubian di tiga perkampungan di Pulau Banggi di sini, bukan sahaja lebih lebih ‘cerah’ malah lebih ceria, dengan pemasangan sistem tenaga berkuasa solar di rumah mereka. 

Jika sebelum ini penduduk bergantung kepada sinar malap pelita atau lampu minyak tanah serta penjana diesel untuk elektrik, kini mereka menikmati cahaya lampu daripada tenaga solar yang lebih terang dan cekap.

Suasana malam yang sebelum ini bingit dengan bunyi generator kini diganti dengan suara gelak tawa dan sembang ria penduduk kampung.

Mereka yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan tradisional juga tidak perlu lagi mengeluarkan belanja tinggi untuk kos penyelenggaraan penjana elektrik diesel dan bahan api.

Sistem tersebut yang dibiayai Petronas, dipasang oleh anak syarikatnya Petronas Floating LNG (PFLNG), di 140 rumah di Kampung Dogoton, Kampung Semayan dan Kampung Rahmat, terletak di hujung utara Banggi, yang juga merupakan pulau terbesar di negara ini.

Baru-baru ini, sekumpulan wartawan termasuk penulis menghabiskan dua hari di pulau berkenaan bagi menyaksikan pemasangan sistem tersebut dan kami turut merasai betapa gembiranya penduduk apabila mereka menghidupkan lampu berkuasa solar di rumah masing-masing untuk kali pertama.

PFLNG memulakan inisiatif tenaga bersih itu Februari lepas dengan pemasangan sistem solar berkenaan di dewan surau di ketiga-tiga kampung tersebut.

Frigie Matibol, 30, guru di Sekolah Kebangsaan Semayan, berkata pemasangan sistem itu akan memberi impak positif kepada pelajar dari segi prestasi akademik kerana mereka kini boleh melakukan ulang kaji di rumah untuk jangka masa yang lebih lama, di bawah cahaya lampu berkuasa solar.

“Dengan lampu berkuasa solar mereka boleh belajar pada waktu malam tanpa bergantung pada pelita,” kata Frigie, yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah pedalaman itu sejak tujuh tahun lepas.

Sambil bersantai di bawah teduhan pohon mangga di halaman rumah kayunya di Kampung Rahmat, nelayan warga emas berusia 65 tahun Abirul Bakir tersenyum apabila beliau bercerita tentang sistem solar yang dipasang di rumahnya.

“Saya sangat bersyukur kerana Petronas membantu kami membekalkan kemudahan sistem solar secara percuma. Saya hanya seorang nelayan biasa yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap, jadi pemberian solar ini boleh meringankan sedikit bebanan hidup kami,” kata Abirul.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFLNG Azrul Roshazli berkata sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan rakan kongsi penyelesaian tenaga lebih bersih progresif, Petronas terus komited untuk menambah baik kehidupan komuniti di kawasan ia beroperasi. 

Program impak sosial Petronas “Uplifting Lives - Rays of Hope” (Sinar Harapan) bertujuan membantu komuniti pedalaman mendapatkan akses kepada tenaga rendah karbon.

Pemasangan sistem tersebut di ketiga-tiga perkampungan selesai lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu bulan depan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti terbabit.

Pulau Banggi ialah sebahagian daripada Taman Tun Mustapha yang merupakan kawasan perlindungan marin dan taman pelbagai guna terbesar di Malaysia.

Perjalanan ke pulau itu mengambil masa lebih kurang satu jam dengan menaiki bot dari Kudat yang terletak kira-kira 190 kilometer dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

-- BERNAMA

 

 


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]