Berita

Peluang Besar Dalam Tenaga Boleh Baharu, Teknologi Cekap Tenaga

Kredit : Suruhanjaya Tenaga

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Permintaan elektrik di Asia Tenggara telah mengatasi rantau lain di seluruh dunia, meningkat secara purata lebih daripada 6.0 peratus setiap tahun sepanjang tempoh dua dekad yang lalu.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, penggunaan elektrik di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand secara kumulatif menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah permintaan elektrik di rantau ini, susulan peningkatan pemilikan perkakas rumah dan penggunaan barangan dan perkhidmatan.

Walaupun rantau ini merupakan salah satu daripada beberapa kawasan terpilih yang penjanaan tenaga arang batunya telah berkembang, dinamik itu dijangka berubah dalam beberapa dekad akan datang apabila kerajaan-kerajaan dilihat menimbang untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu (TBB) dalam campuran kuasa.

Pada masa yang sama, peningkatan penggunaan teknologi cekap tenaga bagi loji jana kuasa arang batu akan menyumbang kepada pengurangan penggunaan kuasa.

 

ICPT di Malaysia 

 

Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) adalah mekanisme di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif yang membenarkan pelarasan dalam tarif elektrik untuk mencerminkan perubahan dalam kos bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain kerana kos ini ditetapkan berdasarkan harga yang ditanda aras dalam tarif asas.

ICPT, yang disemak setiap enam bulan, akan mencerminkan kos sebenar tarif dalam bentuk sama ada rebat atau surcaj.

Sejak 2015, kerajaan telah berjaya melaksanakan 18 kitaran di bawah mekanisme ICPT untuk membantu mengurangkan kesan harga bahan api global yang tinggi, termasuk  yang terkini subsidi elektrik RM5.2 bilion bagi tempoh kawal selia 1 Julai-31 Dis 2023.

Pengarah Institut Penyelidikan Suria UiTM, profesor madya Dr Nofri Yenita Dahlan berkata perubahan dramatik dalam senario tenaga disebabkan oleh kenaikan harga tenaga, peningkatan permintaan terhadap arang batu dan pemulihan ekonomi global yang pesat selepas wabak, adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.

“Tekanan ke atas sistem fiskal akibat COVID-19 dan kenaikan harga tenaga memerlukan pelepasan kos tenaga kepada pengguna, sama ada mereka isi rumah atau syarikat,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beberapa mekanisme pelepasan kos atau surcaj yang mencerminkan harga tenaga antarabangsa tidak dapat dielakkan sekarang dan pada masa hadapan, katanya.

 

Teknologi Cekap Tenaga Di Malaysia 

 

Bagi mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, industri global juga mempercepatkan pelaburan mereka ke arah kecekapan tenaga apabila perlumbaan yang kritikal ke arah pelepasan sifar bersih semakin meningkat.

Ini melibatkan pengurangan jumlah tenaga yang diperlukan untuk loji jana kuasa, rumah, bangunan komersial dan kenderaan melalui penggunaan peralatan cekap tenaga.

Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga (ST) memperkenalkan label penarafan cekap tenaga untuk peralatan seperti peti sejuk, penyaman udara, kipas domestik, mesin basuh, televisyen, ketuhar gelombang mikro, ketuhar elektrik, periuk nasi dan lampu.

Produk-produk ini akan mengandungi label cekap tenaga yang dikeluarkan kepada pengilang peralatan elektrik yang mematuhi keperluan piawaian prestasi tenaga.

Label cekap tenaga menunjukkan anggaran penggunaan tenaga oleh peralatan elektrik menggunakan sistem penarafan bintang, dengan lima bintang adalah yang paling cekap dan satu bintang pula adalah paling kurang cekap.

Untuk makluman, hanya produk yang mempunyai sekurang-kurangnya dua bintang dibenarkan memasuki pasaran Malaysia.

Walaupun peralatan bertaraf lima bintang mungkin lebih mahal sedikit, pengguna akan dapat menikmati penjimatan pada bil elektrik mereka dalam jangka masa panjang.

 

Komitmen Kerajaan Untuk Peralihan Ke Arah Tenaga Boleh Baharu

 

Insentif kerajaan juga memainkan peranan untuk menggalakkan pengamalan tenaga boleh baharu (TBB); sebagai contoh, skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) untuk rakyat, NEM Rakyat, telah mendapat sambutan positif dengan hanya 45 peratus kuota yang tinggal sehingga 31 Dis, 2023.

Di bawah skim itu, mereka yang menggunakan panel fotovoltaik solar (PV) sendiri bagi menjana elektrik boleh mengeksport lebihan tenaga ke grid elektrik syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pertukaran untuk kredit yang boleh digunakan dalam mengimbangi bil elektrik mereka.

Bagi menggalakkan lagi pemasangan sistem PV solar, kerajaan juga telah memudahkan syarat-syarat di bawah program NEM dan program Penggunaan Sendiri bagi Pemasangan PV Solar (SelCo) melalui langkah-langkah seperti:

 

- kelonggaran had kapasiti bagi setiap isi rumah yang memohon program NEM Rakyat;

- peningkatan kapasiti yang dibenarkan untuk sistem PV solar di bawah program NEM NOVA dan program SelCo daripada 75 peratus kepada 85 peratus; dan

- pembukaan aplikasi dan penyertaan oleh pengguna voltan tinggi di bawah program SelCo.

 

TNB juga akan mengumumkan beberapa penambahbaikan untuk menggalakkan pemasangan sistem PV solar.

“Kami merasakan sokongan kerajaan dan insentif tambahan boleh membantu merangsang penggunaan solar di rumah, contohnya, pelepasan cukai peribadi, sama seperti yang boleh dituntut untuk pembelian komputer," kata Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Kumpulan Plus Xnergy, Ko Chuan Zhen kepada Bernama. 

Plus Xnergy ialah penyedia penyelesaian tenaga bersih yang telah menyediakan kelengkapan kepada lebih daripada 700 rumah, 130 bangunan komersial dan perindustrian (antara 2012 dan 2019) dan 126 bangunan (2020-2021) dengan panel PV solar.

Ko memuji langkah kerajaan dalam mengutamakan kelestarian alam sekitar menerusi Bajet 2023.

“Kerajaan yang komited untuk meningkatkan keseimbangan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, bukan sahaja akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kemahiran semula tetapi juga mewujudkan peluang untuk mengurangkan kekurangan tenaga di kawasan luar bandar dengan menyediakan tenaga bersih dan mampu milik,” katanya.

Ko turut mengetengahkan langkah positif yang diambil kerajaan untuk menyokong agenda hijau, termasuk Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

“Inisiatif itu termasuk memanfaatkan potensi sumber solar, melanjutkan skim NEM dan membenarkan perniagaan mengakses kemajuan dalam teknologi TBB, termasuk pelaburan dalam grid dan storan tenaga,” katanya.

 

Kecekapan Tenaga dan TBB: Langkah Ke Hadapan

 

Di Malaysia, terdapat pelbagai cara bagi pengguna untuk mengurangkan bil elektrik mereka. Seseorang boleh menjimatkan banyak wang untuk bil utiliti mereka dengan hanya mengambil langkah menaik taraf beberapa perkara, termasuk menggunakan peralatan cekap tenaga dan memasang panel PV solar.

Ko optimis tentang masa depan TBB, dengan mengatakan penyelesaian solar pengguna mampu milik membantu untuk menggalakkan pengguna komersial dan isi rumah menggunakan penyelesaian tenaga yang lebih mesra alam.

“Negara kita menuju ke arah landasan yang betul, dan kita melihat kemajuan yang memberangsangkan, terutamanya dengan pengumuman kerajaan kita mengenai peruntukan dan pengagihan semula kuota baharu untuk TBB,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]