Berita

Lebih Banyak Syarikat Swasta Diminta Perkenalkan Feri Elektrik - Anthony Loke

Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Kementerian Pengangkutan berharap lebih banyak syarikat swasta untuk tampil memperkenalkan feri elektrik bagi meyokong usaha produk-produk pengangkutan mesra alam sekitar. 

Menterinya Anthony Loke berkata pihaknya berbangga kerana ada pelaburan terhadap syarikat Malaysia iaitu Yinson Holdings Bhd yang terlibat dalam pembinaan ‘Green Mobility’ marin. 

“Apabila saya melihat pembentangan syarikat ini...ia kini sedang membina sebuah feri penumpang berlandaskan elektrik, ini merupakan satu penerokaan baharu.

“Kita mengharapkan lebih banyak usaha daripada pihak syarikat swasta untuk turut memperkenalkan feri-feri elektrik ini sebab kalau kita menyebut pasal kenderaan elektrik (EV), ia tidak hanya melibatkan kereta dan motosikal. 

‘Saya berpendapat ini satu usaha yang baik kerana kalau syarikat swasta dapat melabur dalam perkara ini dan memperkenalkan produk-produk lebih mesra alam sekitar kepada sektor pengangkutan, sudah tentu ia adalah sesuatu yang disambut baik oleh kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Dan Pembiayaan antara Yinson Holdings Bhd (Yinson), RRJ Capital (RRJ) dan Farosson di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ia sudah tentu memerlukan ‘buy-in’ daripada pihak operator dan Yinson telah memperkenalkan beberapa konsep pemilikan antaranya motosikal elektrik yang menawarkan skim sewa beli.

“Untuk motosikal, banyak syarikat-syarikat penghantaran memerlukan motosikal tetapi kalau ia memerlukan pelaburan yang besar, berkemungkinan syarikat swasta tidak akan berminat,” katanya. 

Menurutnya skim sewa beli tersebut mampu menarik perhatian lebih banyak syarikat terutamanya syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka pemilikan kenderaan selain mengadaptasi EV.

“Saya perhatikan pelaburan pada hari ini sangat baik kerana ia dapat melonjakkan Malaysia dalam peta pemilikan EV ini kerana kadar ‘take-up’ (minat) kita dalam EV ini masih rendah. 

“Kalau syarikat penghantaran ini boleh memulakan penggunaan motosikal EV, saya rasa ini satu trend yang boleh diperkembangkan lagi. Dalam pada itu, Yinson turut terlibat dalam menawarkan feri elektrik,” katanya.

Hari ini, Yinson telah memeterai perjanjian kerjasama dengan firma pelaburan global RRJ untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur tenaga dan projek teknologi di seluruh dunia termasuk melalui peruntukan pembiayaan sebanyak AS$300 juta.

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani Badan Penasihat, Pelaburan dan Pengurusan Aset kumpulan tersebut, Farosson yang disaksikan oleh Loke.

Pada acara itu, para tetamu turut mengambil bahagian dalam pameran oleh Yinson GreenTech (YGT) yang menampilkan penyelesaian untuk ekosistem yang bersih, bersepadu dan dipertingkatkan teknologi merentas segmen marin, mobiliti serta infrastruktur.

Antara dipamerkan ialah basikal elektrik YGT dengan bateri boleh tukar, rydeEV, penyelesaian pajakan kenderaan elektrik, infrastruktur pengecasan pemanduan dan EV iaitu chargEV.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]