Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah menggariskan tiga strategi dalam Pelan Pembangunan Penjanaan bagi memenuhi permintaan bekalan tenaga elektrik dalam kalangan pengguna di negeri itu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata tiga strategi itu merangkumi fasa penyelesaian segera (2023-2025); fasa penyelesaian jangka sederhana (2026-2030); dan fasa penyelesaian jangka panjang (selepas 2030).
Bagi fasa penyelesaian segera, Nizam berkata ia bertujuan mencapai jidar simpanan penjanaan ke tahap kukuh iaitu 30 peratus, antara lain memastikan simpanan penjanaan mempunyai lebihan kira-kira 300 megawatt berbanding beban maksimum grid Sabah yang kini mencecah hampir 1,100 megawatt.
“Untuk tujuan ini, beberapa projek fast-track telah diputuskan termasuk projek penyewaan powership berkapasiti 224 megawatt yang akan beroperasi di pantai timur Sabah pada penghujung tahun ini.
“Selain itu, pelbagai tindakan mitigasi yang lain sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kebolehharapan loji jana kuasa sedia ada,” katanya menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Daud ingin tahu tentang hala tuju penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna.
Nizam berkata fasa penyelesaian jangka sederhana pula antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah kira-kira 400 megawatt dan projek solar berskala besar sebanyak 100 megawatt.
Di samping itu katanya, terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kilovolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawak serta projek talian penghantaran Southern Link yang akan menghubungkan Sipitang dan Tawau.
“Ini akan mengukuhkan kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutama pengguna-pengguna industri pada masa akan datang,” katanya.
Nizam berkata fasa penyelesaian jangka panjang digariskan dalam pelan itu akan memberi tumpuan kepada mempertingkat potensi hidro elektrik di Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Nizam berkata penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu juga akan dilaksanakan seperti geoterma, angin, hidrogen dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri, selain meneroka perancangan sambung tara talian penghantaran antara Sabah dan Kalimatan Utara berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat tahun ini.
Beliau berkata kerajaan Sabah dan Persekutuan melalui mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif Sabah pada 12 Jun lepas juga telah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan berkenaan bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna.
Katanya, mesyuarat itu mengambil kira dua aspek iaitu pertumbuhan organik merangkumi unjuran penambahan keperluan beban yang lazim yakni peningkatan pengguna domestik dan pengguna kategori lain serta keperluan beban Step Load oleh pengguna daripada industri besar yang komited.
“Kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia Pembekalan Elektrik dan Tenaga Boleh Baharu pada 3 Jan 2024 melalui Persidangan Khas DUN.
“Seterusnya pewartaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu 2024 serta pindaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah, dengan tambahan fungsi kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu pada hari itu,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]