Berita

Netr Mampu Bantu Penuhi Permintaan Elektrik Sabah Menerusi Tenaga Solar



Oleh Arthur Edward

KOTA KINABALU, 30 Julai (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) terutama projek panel solar di bawah Fasa 1 pelan itu memainkan peranan penting dalam membantu usaha jangka panjang memenuhi permintaan bekalan elektrik di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata manfaat itu dapat dilihat menerusi keupayaan dan peranan dimainkan ladang solar Kudat, beroperasi sejak 2018, yang mampu menjana 50 megawatt (MW) untuk bekalan elektrik di Sabah.

Justeru, beliau berkata fokus kerajaan Persekutuan menerusi NETR untuk memperbanyak penggunaan panel solar bagi penjanaan tenaga elektrik adalah langkah tepat dalam usaha Sabah memenuhi permintaan dan seterusnya mengatasi masalah gangguan elektrik.

"Oleh itu menerusi NETR, saya berharap projek ladang solar berskala besar ini diperluaskan lagi, dulu saya pernah mencadangkan agar satu projek ladang solar berskala besar dilaksana di kawasan Beaufort dan saya yakin kawasan berkenaan sesuai.

"Kerajaan mungkin boleh melaksana projek solar itu di kawasan lain yang sesuai kerana dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah elektrik di Sabah khususnya di kawasan pedalaman yang belum mempunyai kemudahan tersebut," katanya kepada Bernama selepas merasmikan program Debaran Bintang Kecil RTM di sini baru-baru ini.

Sabah pada masa ini mampu menjana keseluruhan 84 MW tenaga elektrik menerusi penjanaan solar iaitu 50MW menerusi ladang solar Kudat dan 34 MW dengan Projek Solar Photovoltaic (Solar PV) di bawah skim Feed-in Tariff, melibatkan 796 pepasangan jenis individu, komersial dan komuniti.

Pada 3 Mei lepas, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memaklumkan permintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah ialah sekitar 970 MW, namun pada 26 April lepas, negeri ini mencatat permintaan tertinggi tahun ini iaitu 1,029 MW, justeru catuan terpaksa dilakukan bagi memastikan grid elektrik stabil.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melancarkan NETR Fasa 1 bermatlamat menjadikan tenaga bersih sebagai pilihan yang relevan di negara ini, selain membuka lebih banyak peluang pelaburan bernilai RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Ditanya tentang projek rintis panel solar bumbung rumah dalam NETR yang dilaksanakan di kawasan perumahan Elmina dan Bandar Bukit Raja, Selangor berjumlah 4.5 megawatt bagi 450 rumah, Ruslan berkata projek seumpama itu mampu dilaksanakan di Sabah.

"Kita berharap selepas ini ia akan dilaksana di Sabah pula...rakyat Sabah juga sudah semestinya mahu menikmati kemudahan berkenaan susulan gangguan elektrik yang sering berlaku di Sabah kini," katanya dan menambah kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dalam projek tersebut.

Beliau berkata projek rintis itu juga boleh memberi manfaat dalam usaha membekalkan elektrik kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah yang pada masa ini sukar dilakukan kerana kekangan untuk memperluaskan capaian grid elektrik ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings Berhad Davis Chong berkata komitmen Malaysia bagi mencapai sasaran tenaga boleh baharu dipuji dan NETR menunjukkan hala tuju yang jelas serta meyakinkan untuk masa depan tenaga negara.

 Beliau berkata NETR adalah langkah yang tepat bagi Malaysia memfokuskan kepada enam tuas perubahan tenaga iaitu kecekapan tenaga, RE, hidrogen, tenaga bio, mobiliti hijau serta tangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Ini menunjukkan usaha kerajaan dalam berkolaborasi dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengambil pendekatan proaktif dalam menerokai mekanisme perubahan tenaga rintis dan mengambil risiko awal dalam menuju ke arah penyelesaian tenaga lestari,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata tenaga solar ialah satu daripada RE paling berdaya maju di Malaysia yang mampu menyumbang kepada projek-projek pemangkin utama Zon RE.

ZON RE dan Taman Solar Bersepadu bukan hanya akan mendorong pertumbuhan dalam sektor tenaga solar tetapi juga membuka jalan untuk polisi dan mekanisme Akses Pihak Ketiga (TPA), menggalakkan liberalisasi tenaga dan mewujudkan pasaran terbuka dan kompetitif untuk pemain industri tenaga seperti Solarvest.

“Pasaran terbuka akan merangsang lebih banyak penyertaan dan inovasi dalam sektor RE, menggalakkan penjana kuasa bebas (IPP) untuk melabur dan akhirnya memberi manfaat kepada pengguna.

“Kami turut memuji keputusan untuk meningkatkan pemasangan sistem solar dalam bangunan-bangunan kerajaan dan pembangunan perbandaran hijau,” tambahnya.

Solarvest ialah pakar tenaga bersih dengan visi membekalkan tenaga kepada dunia secara berterusan, dan sejak penubuhannya pada 2021, Solarvest telah mempromosi penggunaan tenaga suria dan melaksanakan hala tuju strategik untuk menawarkan lebih banyak penyelesaian tenaga bersih.

-- BERNAMA

 

 

 





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]