Berita

Projek Hidroelektrik Nenggiri Beri Banyak Manfaat Kepada Orang Asli



GUA MUSANG, 7 Ogos (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi dan Pos Pulat, di sini yakin Projek Hidroelektrik Nenggiri bakal memberi manfaat kepada komuniti itu dalam pelbagai bentuk termasuk kemudahan jalan raya dan peluang pekerjaan yang lebih. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi Ajeh Baharom, 50, berkata hampir 1,000 penduduk suku kaum Temiar di penempatan berkenaan sedia maklum tentang projek tersebut, malah sudah bersedia untuk berpindah sejak lebih 10 tahun lepas. 

Beliau berkata penduduk di dua penempatan yang terlibat dengan projek tersebut telah dijanjikan dengan penempatan baharu, justeru mereka menaruh harapan dapat menikmati kemudahan yang lebih baik. 

“Penduduk kampung yang terdiri daripada 237 keluarga dah lama tahu dan dah 12 tahun kami menanti. Kami berharap agar perkara ini dapat dilaksanakan dan berjalan dengan lancar serta disiapkan mengikut jadual.

“Kemudahan penempatan baharu nanti kami harapkan lebih elok daripada (penempatan) Pos Tohoi seperti kemudahan jalan yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Tohoi di sini. 

Bagi Jenny Adik, 35, pula beliau amat berharap janji yang diberikan kepada mereka dapat ditepati mengikut apa yang telah dipersetujui sebelum ini. 

“Saya harap pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau kerajaan dapat melaksanakan pembinaan penempatan baharu itu ikut jadual dan perancangan asal. Diharapkan rumah kami siap dibina serentak dengan pembinaan projek empangan tersebut.   

“Kalau boleh bila pindah nanti ada banyak peluang pekerjaan untuk belia Orang Asli kerana di penempatan sekarang peluang pekerjaan sangat terhad menyebabkan ramai yang memilih untuk berhijrah keluar,” katanya. 

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang juga calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ab Aziz Yusoff berkata projek pembinaan empangan tersebut dapat menjadi pemangkin pembangunan ekonomi termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang terlibat. 

“Ia bukan sahaja menjana kuasa elektrik dan bekalan air, tetapi ia juga boleh menggerakkan ekonomi penduduk Nenggiri. 

“Selain mereka dapat bekerja, diharapkan ada sebuah bandar terbentuk apabila empangan Nenggiri ini siap,” katanya. 

Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 billion dan dijangka siap pada 2026, akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi serta Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97km persegi.

-- BERNAMA 





    Berita Lain-lain

Malakoff Bekerjasama Dengan Syarikat Dubai Tinjau Peluang Berkaitan Loji Kuasa Fotovolta Solar

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).


Mou Cypark-masdar Akan Tingkatkan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.


Tangani Pelepasan Daripada Sektor Tenaga, Industri Jadi Tumpuan Malaysia Dalam Perubahan Iklim - Agong

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]