BATU KAWAN, 3 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), sebuah agensi di bawah kerajaan negeri merancang untuk mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui khususnya tenaga solar dan menjadikannya salah satu perniagaan terasnya pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar berkata inisiatif itu selaras dengan transformasi kerajaan negeri kepada ekonomi hijau serta usaha negara untuk memastikan tenaga boleh diperbaharui menyumbang 70 peratus daripada penjanaan elektrik negara menjelang 2050.
"Kami menjangkakan pelaburan untuk tenaga boleh diperbaharui akan dipertingkatkan secara eksponen dan kami percaya Pulau Pinang mempunyai peranan yang menarik dan utama untuk dimainkan, negeri ini menjadi rumah kepada pelbagai syarikat multinasional (MNC) dalam sektor pembuatan.
"PDC komited untuk memainkan peranannya dalam membantu orang lain untuk memulakan perjalanan tenaga boleh diperbaharui sekali gus mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih pada masa depan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Sistem Fotovoltaik Solar (PV) PDC di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Aziz berkata bagi projek solar pertamanya, PDC bekerjasama dengan Solarvest Holdings Bhd yang bertanggungjawab untuk perundingan, reka bentuk dan kejuruteraan, perolehan, pengurusan projek dan pembinaan.
Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) telah ditandatangani dengan Marelli Automotive Lighting Malaysia Sdn Bhd pada Februari 2023 dengan kos pelaburan PDC sebanyak RM12 juta, katanya.
Pembinaan bermula pada Mac 2023 dan selepas projek siap, PDC akan terus memiliki, mengendali dan menyelenggara sistem PV solar ini dengan kapasiti 3,149.56 kW.
"PDC dan Marelli adalah rakan kongsi jangka panjang sejak 2013 kerana ia memajak tanah dan bangunan daripada PDC selama 20 tahun bermula 2013. PDC akan menyediakan penyelesaian sistem solar melalui anak syarikat kami, Solar Voltech Sdn Bhd.
"Pada masa terdekat, kami mempunyai beberapa lagi projek dengan Solarvest untuk memasang sistem PV solar ini di kilang-kilang di sini," katanya.
Sistem Tenaga Solar dibangunkan di bawah program pembiayaan solar Solarvest, Powervest yang membolehkan perniagaan menggunakan tenaga bersih dengan perbelanjaan sifar untuk permulaan.
Sistem ini dijangka menjana 4.4 gigawatt-jam (GWh) tenaga bersih setiap tahun, membolehkan Marelli mengimbangi 2,410 tan karbon dioksida setahun serta kira-kira 20-30 peratus dalam penjimatan bil elektrik.
--BERNAMA
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi melalui pelaburan dan pembangunan projek loji tenaga fotovolta solar dengan kapasiti agregat disasarkan sehingga 1,000 Megawatt (MW).
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Cypark Resources Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC juga dikenali sebagai Masdar, salah satu syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia untuk memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
Daripada Anas Abu Hassan
DUBAI, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menangani pelepasan daripada sektor tenaga dan industri menjadi tumpuan tindakan iklim Malaysia berikutan ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelepasan karbon negara.
© 2023 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]