Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dilihat sebagai pelengkap kepada Dasar Tenaga Negara dan boleh menyegerakan aspirasi Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Ja’afar berkata disiplin diperlukan untuk melaksanakan proses yang dikehendaki dan menjadikan komitmen kepada pelan hala tuju itu sebagai satu kejayaan.
“Pada akhirnya, ia bergantung kepada pelaksanaan. Sekiranya kita kekal dengan rancangan pelaksanaan kita, kita boleh menjadi sebaik negara jiran. Kita akan jadi (lebih baik).
“Sesuatu perlu diubah. Dari segi disiplin, ini sentiasa ada. Ini mungkin aspek lazim untuk memastikan apa yang kita rancang, kita membuat tindakan susulan, dan kita sesuaikan dengan sewajarnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada Khamis, Malaysia melancarkan fasa pertama NETR, dengan memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin utama yang akan membuka peluang pelaburan peralihan tenaga bernilai RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.
Bagi fasa pertama NETR, jumlah pelaburan komited bernilai RM25 bilion yang dijangka mewujudkan kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi dan berkualiti tinggi selain mengurangkan 10,000 gigagram bersamaan karbon dioksida tahunan.
Enam pemacu peralihan tenaga utama adalah kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan perangkap, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Fasa kedua NETR dijangka dilancarkan dalam tempoh sebulan dan akan memberi tumpuan untuk mewujudkan laluan rendah karbon, campuran tenaga negara, dan sasaran mengurangkan pelepasan, serta pengupaya yang diperlukan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata NETR bukan sekadar dokumen yang menyenaraikan langkah-langkah sementara bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih negara, sebaliknya menggabungkan strategi serta inisiatif yang boleh mentransformasi ekonomi, mata pencarian serta kedudukan di peringkat dunia.
Pada dua bulan lepas, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah membuat keputusan dasar penting seperti menarik balik larangan eksport TBB untuk meningkatkan potensi hasil yang boleh diraih daripada syarikat yang terlibat dengan peralihan ini.
Selain itu, kedua-dua pihak turut mengumumkan kewujudan pusat pertukaran elektrik kendalian pengagregat atau “aggregator” pasaran tunggal bagi memastikan harga yang adil serta telus.
Bagi mengurangkan komitmen kerajaan, kerajaan turut bertindak meningkatkan lagi sasaran kapasiti TBB yang dipasang kepada hampir dua kali iaitu daripada 40 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050.
NETR yang baru dilancarkan ini turut membolehkan kerajaan memberi tumpuan membenarkan lebih banyak pembangunan perumahan bandar bersepadu berskala besar memasukkan solar bumbung dalam pakej harga bagi membolehkan penggiat hartanah mempertimbang penyelesaian penyimpanan tenaga.
Rafizi berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan Sime Darby Property Bhd berikutan projek-projek solar bumbung hanya boleh dilaksanakan di projek perumahan komersial berskala besar tanpa pembiayaan kerajaan.
RHB Research dalam nota penyelidikan pada Jumaat berkata pihaknya optimis dengan penyertaan pemaju dalam NETR.
“Jika pemaju pada masa ini atau dijangka terlibat dalam penjanaan tenaga solar dapat menyelesaikan perbelanjaan modal/pembiayaan yang diperlukan (berpotensi menerusi usaha sama), kami berpandangan ini adalah peluang baik kepada mereka yang mempunyai banyak simpanan tanah untuk memanfaatkan sebahagian daripada tanah bukan teras, terutamanya plot terpencil yang lazimnya dibiarkan kosong,” katanya.
Sime Darby Property disenaraikan antara syarikat yang bercadang memasukkan penyelesaian bumbung solar bagi produk hartanahnya pada masa akan datang dan sedang meninjau peluang untuk mengoperasikan ladang solar atas tanah skala utiliti di Jerai, Kedah (147.71 hektar) dan Pagoh, Johor (256.98 hektar).
“Kami yakin dengan inisiatif tersebut berikutan syarikat ini, sebagai antara pemaju terbesar yang mempunyai simpanan tanah yang luas di Malaysia, akan berupaya menggunakan dan ‘menjana keuntungan’ daripada tanah bukan terasnya.
“Sime Darby Property berpotensi sebagai penjana, pengedar dan pembeli tenaga solar, dan tenaga ini akan dibekalkan kepada Elmina Lakeside Mall dan Elmina Business Park.
“Bagaimanapun, perbelanjaan modal yang diperlukan bagi pengoperasian tersebut masih tidak pasti. Kami percaya syarikat itu mungkin berpotensi untuk menjalinkan usaha sama,” kata RHB Research.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]