KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Citaglobal Bhd dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bersama-sama membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) merentas solar, sistem storan tenaga bateri (BESS), angin dan teknologi RE yang lain.
Kedua-dua entiti itu akan bergabung tenaga membangunkan projek merentas pelbagai RE di Pahang, termasuk meneroka teknologi solar, BESS, angin dan RE lain. Malaysia menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sejak sedekad lalu, Masdar telah merintis penyelesaian yang berdaya maju secara komersial dalam tenaga bersih, hartanah mampan dan teknologi bersih di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan di seluruh dunia.
"Melalui kerjasama dengan pemain peralihan tenaga terkemuka, kami akan membuat kemajuan yang lebih pantas ke arah sasaran iklim kami, selain membina keperluan tenaga jangka panjang kami dengan cara yang bertanggungjawab dan menjimatkan kos," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi berkata syarikat itu teruja untuk bekerjasama dengan Citaglobal dan mengembangkan kehadirannya dalam pasaran utama di Asia Tenggara.
“Kami berharap dapat merintis penyelesaian tenaga untuk mengurangkan pelepasan di Malaysia dan rantau ini. Asia Tenggara merupakan destinasi pelaburan utama untuk Masdar,” katanya.
Masdar aktif di lebih 40 negara di enam benua dan telah melabur atau komited untuk melabur dalam projek dengan nilai gabungan lebih US$30 bilion (US$1=RM4.52), dengan jumlah kapasiti lebih 20 gigawatt (GW), dan mampu mengimbangi 30 juta tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.
Anak syarikat milik penuh Citaglobal yang terlibat dalam perjanjian ini termasuk Citaglobal Energy Sdn Bhd, Citaglobal Powergen Sdn Bhd dan syarikat milik bersama 50:50, Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd (CG BESS).
MoU itu ditandatangani oleh Mohamad Norza dan Ketua Pembangunan dan Pelaburan Masdar Abdulla Zayed dan disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith.
Tujuan MoU itu adalah untuk memformalkan hasrat pihak-pihak tersebut bagi membincangkan lebih lanjut bidang potensi kerjasama yang terdiri daripada projek RE berkaitan dengan fotovoltaik solar, BESS, hidro, angin, sisa kepada tenaga, haba kepada tenaga dan penangkapan serta penggunaan karbon.
MoU itu juga akan memudahkan potensi kerjasama di antara Masdar dan Citaglobal berkaitan dengan penyelesaian teknologi dan bekalan peralatan di luar Malaysia dengan tumpuan pada Asia Tengah.
Pelaksanaan MoU ini akan membolehkan Citaglobal Group menambah baik dan mengukuhkan pembangunan Ladang Solar 2GW (daratan dan terapung) di Pahang yang akan memenuhi pasaran tempatan dan eksport.
MoU itu berkuat kuasa serta-merta daripada tarikh MoU itu dilaksanakan dan akan kekal selama dua tahun selepas itu.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]