Berita

Sime Darby Property Teroka Penyelesaian Solar Bumbung Seiring Pelancaran Netr Fasa 1

Sime Darby Property fb

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd sedang meneroka penyelesaian solar bumbung dengan 1,000 unit kediaman atas tanah sebagai perintis di Bandar Elmina, Shah Alam, bandar yang dibangunkannya, bagi menerajui perbandaran hijau dan pengurangan yang berterusan terhadap pelepasan karbon.

Pengarah Urusan kumpulan Datuk Azmir Merican berkata dengan projek perintis berkenaan inisiatif tersebut akan diperluaskan kepada 10,000 rumah Sime Darby Property masa hadapan yang akan dilancarkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini bukan sahaja mengenai penjanaan tenaga, ia adalah mengenai mewujudkan ekosistem yang melibatkan bekalan daripada bumbung rumah yang tidak digunakan sebelum ini, dimanfaatkan bagi memenuhi permintaan tenaga hijau yang semakin meningkat.

“Di bawah model ini, bumbung dipajak daripada pembeli rumah untuk pemasangan penyelesaian solar. Tenaga solar yang dijana dibeli oleh perbandaran untuk memenuhi permintaan tinggi pengguna daripada sektor runcit/komersil atau perindustrian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemaju hartanah itu hari ini menyatakan sokongannya terhadap wawasan kerajaan untuk mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

Keputusan ini dibuat sempena pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Fasa 1 oleh Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli di Siri Khas Invest Malaysia KL 2023 hari ini.

Azmir dalam pada itu berkata pada masa hadapan, Sime Darby Property juga menjangkakan untuk membangunkan ladang solar atas tanah dengan anggaran keluasan 404.7 hektar tanahnya di Johor dan Kedah.

Selain penyelesaian solar bumbung, bekalan tenaga solar dari ladang solar ini akan menambah keperluan permintaan perbandarannya, katanya.

“Kami akan mengambil langkah seterusnya di perbandaran kami, dengan syarikat sebagai penjana utama tenaga solar untuk perbandarannya, antara lain. Walau bagaimanapun, ini lebih daripada sekadar usaha komersial, ia sebenarnya adalah mengenai memperkasakan komuniti dan memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi cita-cita tinggi Malaysia.

“Sime Darby Property akan terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan dan mempercepatkan usaha kerajaan ke arah pelepasan sifar bersih,” kata Azmir.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]