Berita

Wef Iktiraf Usaha Peralihan Tenaga Malaysia Sebagai Terbaik Di Asia Tenggara - Abdul Wahid

Tan Sri Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Usaha Malaysia dalam aspek peralihan tenaga telah menerima pengiktirafan sebagai terbaik di Asia Tenggara menerusi Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata WEF mengiktiraf kemajuan dan rancangan Malaysia untuk memastikan peralihan tenaga dilaksanakan tepat pada masanya dan bersesuaian.

Katanya antara faktor lain adalah indeks tersebut mempertimbangkan kesediaan negara untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih mesra alam sekitar.

“Pencapaian ini penting dan hadir pada masa yang tepat ketika kita bersiap sedia untuk rundingan iklim yang akan datang di Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNFCCC COP 28) di Dubai pada akhir tahun ini,” katanya.

Abdul Wahid berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Siri Khas Invest Malaysia: Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1: Projek dan Inisiatif Pemangkin Utama di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah 31 syarikat sendirian berhad dalam sektor tenaga disenaraikan di Bursa Malaysia, menyumbang 2.16 peratus atau RM37.6 bilion daripada jumlah permodalan pasaran.

“Prestasi syarikat-syarikat berkaitan tenaga boleh baharu yang tersenarai di Bursa Malaysia agak kukuh. Sebagai contoh, Solar Vest dan Samaiden Bhd telah mencatatkan pertumbuhan permodalan pasaran tahun ke tahun, masing-masing sebanyak 77 peratus dan 71 peratus,” katanya.

Menurut Abdul Wahid, sebagai bursa pelbagai aset, Bursa Malaysia telah bergiat aktif dalam mempermudah usaha peralihan tenaga Malaysia, khususnya dari segi merapatkan jurang pembiayaan yang diperlukan negara ke arah sifar bersih menerusi pelancaran Pasaran Karbon Sukarela (VCM) - Bursa Carbon Exchange (BCX), bursa VCM patuh syariah yang pertama di dunia pada Disember 2022.

Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjana kredit karbon yang berkualiti tinggi daripada kekayaan sumber berasaskan alam semula jadi dan teknologi negara bagi menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia.

“Ini antara usaha ke arah mewujudkan penetapan harga karbon yang akan membantu membiayai sebahagian daripada langkah dan pelaburan yang diperlukan Malaysia untuk mencapai sifar bersih seawal 2050.

"Kami menjangkakan BCX akan menawarkan peluang pembiayaan tambahan menerusi hasil yang dijana daripada projek-projek tenaga rendah karbon,” katanya.

Abdul Wahid berkata sejumlah 54.9 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia diliputi oleh hutan dan pokok seperti yang dinyatakan dalam Laporan Kemas Kini Dwitahunan Malaysia Keempat (BUR4) kepada PBB, dan mempunyai 46 trilion kaki padu (tcf) kapasiti penyimpanan karbon di lapangan minyak dan gasnya yang semakin berkurangan. 

Selain itu, beliau berkata terdapat banyak pilihan yang mudah diperoleh seperti pemulihan metana daripada sisa buangan cecair kilang minyak sawit, air buangan industri dan tapak pelupusan yang boleh dimanfaatkan untuk penjanaan elektrik biogas.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]