Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) merancang untuk berganding bahu dengan pembuat kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat (AS) Tesla dan pihak berkepentingan industri lain bagi mengubah Malaysia menjadi hab untuk teknologi hijau dan inovasi tenaga bersih.
Kepakaran Tesla dalam teknologi EV, pemanduan autonomi dan amalan pembuatan mampan memberikan peluang yang tiada tandingan untuk pemindahan pengetahuan dan pembangunan kemahiran di Malaysia, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii Nizmar Mohd Nazar.
Beliau berkata pelan tindakan mobiliti rendah karbon Malaysia dan Dasar Tenaga Negara akan memacu peralihan kepada teknologi hijau dan tenaga bersih, dan turut memuji komitmen CEO Tesla, Elon Musk, kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melabur di negara ini semasa mesyuarat maya mereka pada 14 Julai.
“Pelaburan dan operasi Tesla di Malaysia berpotensi untuk memangkin penggunaan EV dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan objektif tenaga bersih negara yang lebih luas dan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon,” katanya semasa temu bual di program ‘The Brief’ Bernama TV baru-baru ini.
Nizmar yakin bahawa hala tuju dan inisiatif strategik yang digariskan dalam teknologi hijau Malaysia dan dokumen dasar tenaga bersih akan mengukuhkan kesan kehadiran dan pelaburan Tesla dalam sektor automotif Malaysia.
Ini khususnya untuk masa depan pembangunan berteknologi tinggi di bawah ekosistem Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) yang akan merangsang pemindahan teknologi, meningkatkan industri tempatan, dan membangunkan pengetahuan untuk industri automotif tempatan di Malaysia, katanya.
Beliau berkata kerjasama itu dijangka memupuk budaya inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hijau, sekali gus meningkatkan keupayaan teknologi Malaysia dan memacu pertumbuhan ekonomi dan daya saing jangka panjang negara dalam pasaran global.
Dengan kemasukan Tesla, beliau berkata MARii dapat membayangkan kemajuan teknologi dalam pelbagai sektor, dengan tumpuan khusus pada NxGV dan mobiliti elektrik, penyelesaian pengangkutan mampan dan amalan pembuatan termaju.
Pada masa yang sama, ia juga akan memberi inspirasi kepada pembuat kereta dan syarikat teknologi tempatan untuk melabur lebih banyak dalam R&D EV.
Dari segi teknologi automotif, teknologi EV dan bateri canggih Tesla berkemungkinan memacu anjakan paradigma ke arah pengangkutan yang mampan.
Peningkatan tumpuan pada EV boleh membawa kepada kemajuan ketara dalam teknologi bateri, infrastruktur pengecasan dan kecekapan automotif keseluruhan, meletakkan Malaysia di barisan hadapan pasaran EV global.
Selain itu, kepakaran Tesla dalam teknologi pemanduan autonomi dijangka memangkinkan pembangunan keupayaan pemanduan sendiri di negara ini.
Nizmar berkata dengan memperkenalkan kenderaannya dengan sistem bantuan pemandu termaju, Tesla mungkin berfungsi sebagai pemangkin untuk inovasi tempatan dan penyelidikan dalam teknologi kenderaan autonomi.
Kesan limpahan daripada kemajuan pemanduan autonomi berkemungkinan melangkaui sektor automotif, memberi manfaat kepada industri seperti logistik dan pengangkutan, dan meningkatkan penyelesaian mobiliti keseluruhan.
"Kami bersedia untuk pemindahan teknologi kerana Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan, Pusat Simulasi dan Analisis MARii, Pusat Prototaip Reka Bentuk dan Kejuruteraan MARii, dan Akademi Teknologi MARii boleh digunakan untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan tempatan dalam R&D, ujian dan pembangunan Teknologi Automotif High 3 dan teknologi kenderaan cekap tenaga (EEV).
“Terdapat juga rancangan untuk menyediakan Pusat Saling Kendali Operasi EV (EVIC) untuk menyokong pembangunan ekosistem EV yang komprehensif -- semua ini boleh menjadi platform untuk Tesla meneroka keperluan pemindahan teknologi tertentu,” katanya.
Tesla yang terkenal sangat bergantung kepada robotik dan automasi dalam proses pembuatannya mampu memberi inspirasi kepada pengeluar tempatan di Malaysia untuk menerima pakai amalan yang sama, dan penggunaan automasi boleh membawa kepada peningkatan kecekapan, ketepatan dan produktiviti dalam industri tempatan.
Kerjasama dengan syarikat tempatan atau institusi akademik mampu terus memupuk pemindahan pengetahuan dan merangsang pertumbuhan R&D robotik di Malaysia, kata Nizmar.
Dengan kenderaan Tesla dilengkapi ciri Internet Pelbagai Benda (IoT) yang canggih, kemasukannya ke Malaysia dijangka menggalakkan integrasi teknologi IoT dalam industri automotif.
Penyepaduan ini mampu memacu pembangunan kenderaan pintar, mendayakan perkhidmatan dan aplikasi baharu berdasarkan data kenderaan dan ketersambungan.
"Dan kesalinghubungan itu mungkin membuka jalan kepada sistem pengangkutan yang lebih bijak, menyumbang kepada mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan jalan raya," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]